SAYA bersama-sama rakan jurugambar tiba di Penjara Kajang tepat pukul 11 pagi. Cuaca panas mula menggigit tubuh. Walaupun terdapat hampir 5,000 banduan yang menghuni penjara terbesar negara itu, keadaan di dalamnya agak hening dan sunyi.
Bunyi selakan pintu besar penjara tersebut lebih kuat kedengaran berbanding bunyi suara manusia di dalamya.
Berbeza dengan kedatangan saya sebelum ini, kali ini wadar yang menjaga di pintu utama sudah siap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).
Dengan alat pengukur suhu badan di tangan, mereka memeriksa suhu setiap daripada kami dengan cermat dan teliti.
Setelah menyerahkan segala barangan peribadi seperti dompet dan telefon bimbit, kami diminta melumurkan cecair nyah kuman (hand sanitizer) di kedua-dua belah tangan. Walaupun kami bukanlah ‘banduan’ yang baru tiba untuk ‘check in’, namun peraturan tetap peraturan.
Malah pegawai penjara yang mengiringi kami juga terpaksa melalui prosedur yang sama. Pendek kata, tiada pengecualian dan tiada kompromi buat sesiapa sahaja yang memasuki kawasan penjara.
Selain atas faktor keselamatan, musim penyebaran virus Covid-19 yang melanda negara membuatkan pihak penjara memperketatkan lagi prosedur keluar masuk di ‘premis’ mereka.
Bagi memastikan keselamatan kami, Pengarah Penjara Kajang, TKP Abdul Halim Ma Hassan turut ‘turun padang’ bersama-sama anggota Unit Kawalan dan Pencegahan Penjara (UKP) yang terkenal dengan ketegasan mereka menjaga tingkahlaku banduan.
Sebaik sahaja melangkah masuk, kami terus dibawa ke sebuah blok kurungan yang menempatkan banduan-banduan yang bekerja di dalam penjara tersebut. Tiba-tiba kedengaran alunan bacaan Al-Quran yang sungguh syahdu dan mendamaikan. Pelantun suaranya adalah seorang banduan yang masih muda. Saya kira umurnya dalam awal 20an.
Serius saya katakan, bacaannya cukup baik persis pelajar tahfiz yang sedang berusaha memperbaiki hafazannya. Hampir lima minit kami terpaku mendengar alunan suaranya membaca Al-Quran dari dalam sel yang kecil dan suram itu.
Abdul Halim kemudian membawa kami ke sebuah blok yang terletak berhampiran dengan dewan makan. Bau enak lauk pauk yang disediakan untuk ribuan banduan di situ benar-benar membuka selera kami.
“Menu banduan kita adalah mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan, adakalanya ikan, adakalanya ayam bertukar-tukar…ia disediakan sendiri oleh banduan di sini,” kata Abdul Halim sambil tersenyum.
Beliau bagaikan dapat mengagak yang kami semua sudah kecur air liur melihat sajian yang telah disiapkan.
BENGKEL JAHITAN
Tiba saja kami di sebuah blok dua tingkat, kedengaran sayup-sayup bunyi mesin jahit di tingkat atas. Di sana Sub Inspektor Ahmad Puat Zainal telah bersedia menyambut kehadiran kami.
“Selamat datang ke bengkel jahitan,” kata Ahmat Puat.
Di sini kami melihat satu pemandangan yang mengujakan. Seramai 60 orang banduan tekun menjalankan kerja-kerja memotong, menjahit dan melipat ratusan pasang pakaian PPE berwarna kebiru-biruan.
Rupanya sejak negara dilanda wabak Covid-19, banduan-banduan yang bekerja di bengkel jahitan di situ berusaha lebih lapan jam sehari untuk menyiapkan sekurangnya 432 set pakaian PPE.
Ia bagi disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di hospital-hospital dan badan bukan kerajaan (NGO). Mereka melakukannya secara percuma!
“Yang dimaksudkan 432 pasang itu bukan seminggu atau sebulan, tetapi sehari! Bayangkan sudah berapa banyak pakaian PPE yang mereka siapkan untuk pasukan ‘fronliner’ kita.
“Sebaik sahaja kain atau material diterima, kesemua banduan di bengkel jahitan ini terus bekerja berhempas-pulas dari pukul 8.30 pagi hinggalah pukul 5 petang, kalau berhenti pun hanyalah pada waktu makan dan solat,” kata Ahmad Puat.
Mengulas lanjut, kata Ahmad Puat, setakat ini para banduan ini telah menghasilkan pakaian PPE kepada Hospital Serdang, Institut Jantung Negara (IJN) dan sebuah NGO tempatan.
Katanya, antara mereka, ada yang ditugaskan di bahagian memotong kain, ada yang tugasnya menjahit, membungkus dan kerja-kerja am.
“Di sini seinci kain pun tidak akan kami bazirkan, kalau anda lihat lebihan kain PPE itu, ia akan kami gunakan untuk menjahit topeng muka (mask) pula,” kata Ahmad Puat.
KES BUNUH
Dalam ramai-ramai banduan itu, mata saya terpandang seorang banduan yang kelihatan agak muda berbanding yang lain. Tafsiran saya tepat kerana ketika dia membuka sekejap topeng mukanya, ternyata dia berusia sekitar 20an.
“Saya baru 25 tahun Encik. Saya Tahanan Limpah Sultan (TLS). Saya didapati bersalah membunuh seorang pekerja kedai mesin judi ketika umur saya baru 16 tahun,” kata Azmi (bukan nama sebenar).
Untuk rekod, TLS merujuk kepada mereka yang dijatuhkan hukuman mati, tetapi masih di bawah umur (juvana). Mereka tidak mempunyai tarikh bebas dan pembebasan hanya boleh dibuat melalui pengampunan oleh Sultan, Tuan Yang Terutama (TYT) atau Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, kata Azmi, ketika kejadian dia dan sepupunya sedang leka bermain mesin judi di sebuah kedai berhampiran rumahnya.
Dalam usia semuda itu, katanya, dia hanya memikirkan wang dan keseronokan namun ternyata ‘tuah’ tidak memihak kepadanya pada hari berkenaan. Kata Azmi, pada hari itu dia kalah hampir RM5,000, begitu juga sepupunya itu.
Lalu tambahnya, mereka berdua mengambil keputusan untuk menyamun kedai mesin judi berkenaan sebelum terjadi pertengkaran hingga menyebabkan kematian salah seorang daripada pekerja kedai tersebut.
“Saya pun tak tahu sampai bila lagi saya di dalam penjara, pejam celik dah sembilan tahun. Saya dan kawan-kawan buat semua ini secara sukarela…kami nak berkhidmat untuk negara.
“Biarpun dalam penjara, kami nak menyokong (usaha) orang-orang yang di luar,” ujarnya.
Pendapatnya turut disahut oleh Pak Omar (bukan nama sebenar). Pak Omar adalah banduan seumur hayat yang tidak diberikan tarikh pembebasan..
Untuk rekod, banduan seumur hayat ini tiada tarikh bebas kecuali mendapat pengampunan atau peringanan hukuman dari Yang di Pertuan Agong, Sultan atau Yang di Pertua Negeri di mana kesalahan tersebut dilakukan.
Menurut Pak Omar, walaupun sudah berusia, selagi dia masih mempunyai kudrat dan bertenaga, dia mahu membantu usaha kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ini.
“Kat dalam (penjara) ni kami dengar juga pasal Covid-19 ni, sangat bahaya rupanya virus itu…nak bantu kerajaan tak mampu, maklumlah bila terkurung dalam tembok tinggi sebegini, apalah sangat yang boleh dibuat.
“Jadi bila dapat peluang buat baju PPE ini, saya dan rakan-rakan tak nak lepas peluang ini, kami gembira melakukannya walaupun percuma,” ujar Pak Omar bersungguh-sungguh.
SEMANGAT LUAR BIASA
Sementara itu, Abdul Halim mengakui apa yang dilakukan oleh warga penjara dalam menyediakan pakaian PPE itu telah menimbulkan rasa kekaguman buat dirinya.
Menurutnya, ini membuktikan mereka juga adalah warga yang bertanggungjawab di sebalik kesalahan yang pernah mereka lakukan..
“Para banduan kita sanggup berkorban, sanggup berusaha bekerja sampai mampu menghasilkan pakaian PPE dalam jumlah yang cukup banyak.
“Ini satu jumlah yang luar biasa. Ini menunjukkan komitmen mereka, keinginan mereka, sokongan dan kesediaan mereka untuk sama-sama membantu kerajaan dan kita semua rakyat Malaysia.
“Ia satu suntikan semangat kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara serta penghuni penjara yang menghasilkan pakaian tersebut,” katanya.
Bohong kalau tidak terbit perasaan sayu melihat penghuninya namun kami berbangga kerana walaupun bergelar banduan, semangat patriotisma dan kecintaan mereka pada negara tidak pernah pudar.
Hanya Allah yang dapat membalas jasa para pegawai dan warga banduan di sini. Kita semua adalah ‘sang pendosa’ yang tak lari dari salah dan khilaf. Semoga taubat mereka dan kita semua diterima oleh Tuhan Yang Maha Esa.
Saya hilang kata-kata. – Malaysia Gazette
https://www.youtube.com/watch?v=_BIUznMQgH8&feature=youtu.be