Home Pendapat Naratif pendidikan Malaysia

Naratif pendidikan Malaysia

Gambar hiasan

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan bahawa penularan wabak koronavirus sebagai pandemik yang merebak hampir ke seluruh dunia. Maklumat yang telah
dikemas kini pada 17 April 2020 jam 10.30 pagi telah melaporkan bahawa terdapat 2,193,558 kes koronavirus, 147,378 kes kematian dan 555,533 yang telah sembuh. Manakala di Malaysia khususnya, terdapat 5,251 kes koronavirus, 86 kematian dan 2967 yang telah sembuh. Usaha Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijalankan sejak 18 Mac 2020 hingga ke hari telah menunjukkan tanda positif apabila angka kematian masih rendah jika dibanding dengan negara jiran Indonesia iaitu 520, dan bilangan pesakit yang telah sembuh juga lebih tinggi. Harapan untuk memutuskan rantaian jangkitan koronavirus akan berjaya.

Dalam menangani masalah ini, setinggi-tinggi penghargaan harus diberikan kepada semua pihak khususnya Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhiyyidin Yassin atas tindakan segera yang diambil untuk melaksanakan separa 'lockdown' serta inisiatif Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat sejumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat. Pengumuman beliau yang mengunakan laras bahasa yang mudah difahami, bukan futuristik atau bersifat 'jargon' seorang pimpinan negara sehingga menyebabkan Makcik Kiah menjadi
'trending'. Begitu juga, kerjasama Menteri Keselamatan Negara (MKN) bawah pimpinan YB Datuk Seri Ismail Sabri Yakob. Beliau begitu tegas menyediakan panduan yang perlu dipatuhi semua pihak sepanjang tempoh PKP. Dengan kawalan ketat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penghargaan juga harus diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bawah pimpinan YB Datuk Seri Adham bin Baba dan Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Noor Hisham Abdullah. Kejayaan mereka bukan sahaja diiktiraf oleh seluruh rakyat Malaysia, kejayaan Malaysia menangangi isu corona virus ini mendapat pengiktirafan dunia. Dilaporkan bahawa Datuk Noor Hisyam telah disenaraikan sebagai tiga doktor terbaik dunia menangani koronavirus. Kepujian kepada barisan  'frontliners' dan rakyat Malaysia kerana turut memyumbang pemutusan rantaian jangkitan virus ini, yang tak nampak oleh mata kasar tetapi sangat berbahaya. Ia mampu meragut nyawa mereka yang telah didapati positif koronavirus. Penularan wabak koronavirus telah mengubah seluruh sistem kehidupan, semua orang tak dibenarkan keluar dan perlu kekal berada di tempat masing-masing.

Rentetan inilah bermula kisah segelintir golongan mahasiswa yang terkandas di universiti awam, pekerja tidak boleh bekerja, menjejaskan sumber pendapatan orang awam, terjejas
ekonomi industri kecil dan sederhana termasuk SME, peningkatan kes keganasan rumah tangga dalam tempoh PKP, perubahan sistem pembelajaran formal didalam talian, tidak dibenarkan solat Jumaat dan berjemaah, tidak dibenarkan berkumpul melebihi 5 orang dan lain-lain lagi. Sampai bila kita akan berkeadaan begini? Persoalan yang bermain di fikiran setiap orang. Perkara sebegini tidak pernah berlaku sepanjang negara Malaysia mencapai
kemerdekaan, maka dalam setiap unit pengurusan negara perlu mengembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini dari akar umbi hingga ke pucuknya.

Isu UPSR dan PT3 dibatalkan

Terdapat banyak isu yang berlaku semasa tempoh PKP yang telah dilaksanakan selama sebulan, yang paling terkini berkaitan UPSR dan PT3 dibatalkan. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia iaitu YB Dr. Mohd Radzi Md Jidin pada 15
Mac yang lalu. Kata beliau dalam sidang media, "keputusan ini diambil selepas beberapa siri perbincangan bersama dengan beberapa individu penting pendidikan negara termasuk
dalam kementerian dan NGO serta atas nasihat MKN dan KKM. Ini bertujuan bagi menjamin keselamatan murid-murid sekolah". Satu pujian yang boleh diberikan kepada beliau atas keputusan bijak yang diambil. Tambahan beliau, "walaupun UPSR adalah taksiran bagi pelajar untuk masuk ke sekolah berasrama penuh dan seumpamanya, begitu juga PT3.
Perkara itu bukan satu masalah kerana taksiran mengikut kaedah lain akan diperkenalkan. Dan apa yang penting pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diteruskan. Hal ini menjadi
perhatian penulis kerana ada persoalan yang masih menjadi tanda tanya semua pihak.

Apakah kaedah pentaksiran yang ingin diperkenalkan? Sebagai anak watan Malaysia yang menerima pendidikan Malaysia sejak 'primary' sehingga 'tertiary' meragui sistem pendidikan Malaysia yang masih belum mampu bersaing dengan negara-negara lain. Memetik rekod daripada Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) yang
menjalankan The Programme for International Student Assessment (PISA) iaitu satu penilaian untuk mengukur sistem pendidikan sebuah negara melalui tahap pembelajaran pelajar
berusia 15 tahun terhadap Matematik, Sains dan Pembacaan. Malaysia mendapat min bagi Matematik ialah 440, Sains ialah 438 dan pembacaan ialah 415. Nilai ini menunjukan peningkatan dibandingkan pada tahun 2012 tapi Malaysia masih jauh berbanding negara membangun yang lain seperti yang telah diucapkan oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia iaitu YB Dr. Maszlee Malik dalam akhbar TheStar, "Education Minister Dr Maszlee Malik said although the country’s performance has improved compared to 2012, and was ranked second among South East Asian countries, there was still much work to be done to ensure that our children are on par with the rest of the world. The reality, he said, is that Malaysia was still at the bottom of the list when compared to the 11 developed countries assessed in PISA 2018."

Dan kemenjadian pelajar yang diinspirasikan seharusnya segaris dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan individu yang holistik dalam setiap segi serta aktif untuk
pengembangan potensi diri. Lagi sekali, taksiran bagaimana yang ingin dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan. Jika sistem pendidikan Malaysia sudah cukup manpan pasti prestasi PISA tidak sekadar melebihi garis imbang yang telah OECD tetapkan. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah diaspirasikan oleh YAB Tan Sri Muhiyidin Yassin semasa memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, Pentaksiran
Berdasarkan Sekolah telah diperkenalkan (PBS). Antara saranan pertama yang boleh dicadangkan disini adalah untuk menjalankan taksiran pelajar melalui PBS sepenuhnya memandangkan PdP masih berjalan seperti biasa.

Saranan kedua ialah pemansuhan UPSR. Melihat negara-negara lain yang mempunyai sistem pendidikan yang baik seperti negara Finland, mereka hanya menduduki tiga ujian wajib sepanjang bergelar pelajar. Hasrat pemansuhan UPSR ini telah dituntut oleh Harry Tan Huat Hock sebagai Ketua Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), yang melihat ini adalah satu tindakan untuk memecahkan tradisi sistem pendidikan Malaysia yang berpaksikan
peperiksaan. Kedua-dua saranan ini juga dapat meningkatkan prestasi para pendidik untuk membuat penilaian literasi dan numerasi pelajar. Walaubagaimanapun, satu mekanisme
yang efektif perlu dikaji selidik disaat ini apabila tidak semua pelajar mendapat akses untuk PdP atas talian. Dan sejauh mana para guru bersedia untuk PBS sepenuhnya, kerana mereka
ibarat enjin yang akan mengerakan sebuah kereta. Jika enjin itu tidak berfungsi, maka kereta itu tidak akan bergerak lebih jauh. Sebarang kewajaran saranan, penulis serah kepada pihak
KPM untuk menkaji selidik serta membuat penilaian.

Harapan bersama

Semua pihak termasuk para pendidik, ibu bapa serta murid-murid pasti menunggu kaedah pentaksiran baru yang akan dirangka oleh pihak KPM. Aspirasi pendidikan negara dalam melahirkan modal insan yang seimbang akademik, sahsiah dan jasmani. Manakala akademik yang mengandungi kedua-dua Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kemanusiaan, Sains Sosial dan Seni (HASS) boleh dijadikan silibus kokurikulum pendidikan sebagai transformasi semasa tempoh PKP dan seterusnya. Tempoh PKP adalah satu
permulaan bagi era pendidikan baru buat Malaysia, inilah masanya untuk membuat satu lompatan besar untuk rejuvenasi sistem pendidikan Malaysia untuk seiring dengan negara
yang telah mencipta nama sebagai negara yang mempunyai sistem pendidikan yang terbaik dunia iaitu Finland. Ini adalah permulaannya.

Oleh: Norfazliana Abdullah
Aktivis Persatuan Belia HARMONI Malaysia