SEOUL – Pihak berkuasa Korea Utara mengakui kes jangkitan koronavirus telah dikesan di negara ini sejak awal Mac lalu.
Kenyataan itu ternyata berbeza dengan dakwaan rasmi Pyongyang sebelum ini yang memaklumkan negara ini bebas daripada virus maut itu.
Radio Free Asia (RFA) dalam laporannya berkata, perkara itu dimaklumkan oleh seorang pensyarah dalam satu taklimat kepada kumpulan pengawasan kejiranan.
Namun tiada sebarang angka dinyatakan.
Pensyarah itu mendakwa kes jangkitan itu berlaku di wilayah Hwanghae Selatan dan Hamgyong Utara, lapor RFA.
Hamgyong Utara berada di wilayah timur laut negara ini, sementara Hwanghae Selatan berada di barat daya.
Pyongyang sebelumnya telah memperkukuhkan pemeriksaan di pintu keluar masuk dan memerintahkan warga asing dari mana-mana negara yang mempunyai kes Covid-19 dikuarantin selama 30 hari, selain membawa keluar puluhan diplomat ke luar negara pada awal Mac.
Pihak berkuasa Korea Utara sedang memantau jika penularan wabak Covid-19 di negara ini, seiring dengan sekatan sempadan, ruang udara dan perairan di seluruh wilayahnya. – MalaysiaGazette