Home Pendapat Covid-19: Menguji integriti kita

Covid-19: Menguji integriti kita

Sebahagian daripada rampasan penutup mulut dan hidung sepanjang operasi penipuan harga oleh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar hiasan

INTEGRITI dinisbahkan sebagai sikap jujur, amanah dan amalan moral yang tinggi dalam diri seseorang individu. Nilai integriti bermula dari dalam diri seseorang individu, dan kemudiannya diterjemahkan kepada sikap dan kelakuan luaran. Keutuhan sesebuah organisasi atau negara bergantung kepada nilai-nilai integriti yang ada pada individu dalam organisasi dan masyarakat.

Musibah Covid-19 banyak menguji dan mengajar kita tentang kepentingan nilai integriti. Kurangnya nilai kejujuran dalam diri individu dan masyarakat yang akhirnya boleh memberi kesulitan  kepada negara. Ketirisan perkakasan hospital seperti topeng muka dan sarung tangan dalam suasana serba sulit hari ini dek Covid-19 menunjukkan kulit sebenar setengah individu dalam masyarakat. Mungkin kesnya agak terpencil, tapi ia adalah signifikan.

Media negara kita melaporkan beberapa kes ketirisan muka di hospital akibat faktor kecurian di hospital-hospital awam. Laporan Berita Harian (29 Mac 2020) melaporkan kecurian topeng muka yang berlaku di Hospital Kuala Lipis oleh pekerja yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Begitu juga kes siasatan dibuka bagi pengguna Facebook yang mendapat penutup mulut dan hidung, sarung tangan getah, dan cecair tangan dari hospital awam seperti dilaporkan oleh Malaysia Gazette (6 April 2020). Isu ketirisan ini juga ditekankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui sidang media pada 7 April 2020.

Gauthler dan Wayne (2008) pengkaji dari Worldbank dalam kajian mereka mengenai ketirisan dalam sektor kesihatan menekankan impak isu ini kepada negara yang dikaji. Menurut mereka, peruntukan yang besar oleh kerajaan bagi sesuatu sektor adalah tidak memberi impak yang positif sekiranya barangan tersebut tidak sampai ke barisan hadapan yang menangani isu sebenar di lapangan. Ketirisan yang berlaku dalam sektor-sektor awam menyebabkan peruntukan tambahan perlu diberi bagi memberi impak kepada negara sebagaimana dirancang. Hal ini penting bagi memastikan tiada golongan yang tercicir untuk mendapat rawatan yang baik, dan pada masa yang sama keselamatan barisan hadapan KKM adalah terlindung.

Keprihatinan pihak kerajaan kepada barisan hadapan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (Prihatin) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru ini diperlihatkan dengan peruntukan khas kepada KKM sebanyak RM500 juta, sebagai tambahan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini (menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM1 billion). Peruntukan ini adalah bertujuan bagi pembelian perkakasan perubatan dan perkhidmatan. Peruntukan ini perlu digunakan sewajarnya, dan kawalan perlulah dibuat supaya tiada isu ketirisan yang timbul samaada dari sikap pengurusan, staf bawahan atau pihak ketiga.

Janganlah memandang enteng pada nilai integriti pada sisi seseorang individu, kerana individu yang akan menentukan corak sesebuah masyarakat. Kepentingan integriti individu sangat ditekankan dalam Islam. Lihat sahaja nilai integriti dalam keperibadian figura Islam dalam mendepani keperluan negara dan keperluan peribadi.

Kisah bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz apabila sedang menguruskan hal negara menggunakan lilin dari aset kerajaan, dan setelah itu apabila membicarakan hal keluarga, beliau segera mengarahkan pembantunya menyalakan lilin kecil kepunyaannya. Jika perkara sekecil ini pun diambil kira oleh beliau, alangkah mengecewakan ada individu hari ini ‘mengambil’ hak kerajaan, dengan kata lain ‘mencuri’ hak kerajaan bagi tujuan peribadi.

Sesungguhnya banyak hikmah dari ujian ini. Ujian ini sepatutnya menginsafkan kita dan megubah diri ke arah lebih baik. Kita mesti menang, dan dalam usaha kita untuk mencapai kemenangan ini janganlah kita menjadi insan yang mementingkan diri sendiri hingga mengambil hak orang lain. Jadilah individu yang berintegriti dalam keadaan kita susah atau senang.

Oleh: Profesor Madya Dr Nurul Aini Muhamed, Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) USIM