KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional perlu menunjukkan ketegasan dan disiplin yang tinggi dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar rakyat akan terus menyokong arahan itu dan tidak menggunakan keculasan segelintir pemimpin sebagai alasan.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pihaknya rasa kecewa atas beberapa berita yang tular yang menunjukkan perintah dan prosedur standard PKP dilanggar oleh pemimpin-pemimpin kerajaan bertaraf Menteri dan Timbalan Menteri sendiri.
Menurutnya, jika perkara ini berlaku di negara lain, tentu ada yang sudah meletakkan jawatan ataupun memohon maaf.
Malangnya integriti politik seperti itu masih suatu yang janggal dan ganjil di Malaysia.
Walaupun mereka akan memberikan alasan dan penjelasan masing-masing, sudah terang lagi bersuluh, prinsip dan semangat asal PKP tidak dipatuhi malah diperlekehkan.
”Perangai ini tidak eksklusif kepada pihak kerajaan terkini sahaja, malahan dapat diperhatikan dalam barisan kerajaan sebelum ini juga.
”Masih jauh lagi perjalanan untuk membugarkan dan mereformasikan politik tanah air kita. Ianya satu topik untuk masa hadapan – sekarang fokus kita hanyalah satu – iaitu melawan musuh yang kita tidak dapat dilihat dengan mata kasar – Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahir berkata, pemimpin-pemimpin yang didapati melanggar perintah PKP tanpa alasan yang munasabah, segera memohon maaf secara terbuka agar pihak polis dapat mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan akta yang sedia ada.
”Covid-19 tidak mengenal warna kulit, darjat dan pangkat – kita juga sepatutnya tidak boleh ada toleransi terhadap mana-mana pihak yang boleh mensabotaj usaha seluruh rakyat Malaysia untuk memerangi wabak Covid-19 ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Denda 1000 seorang inkar PKP
Apa masalah keterangan dah diberi kat polis. Politik x puashati denda je habis cerita. Nak apa lagi?