Home Pendapat Sumbangan pengamal kesihatan persekitaran wajar dihargai

Sumbangan pengamal kesihatan persekitaran wajar dihargai

Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik (JSPP) telah menyiapkan draf pelan tindakan bagi menyeimbangkan kesan kesihatan, keselamatan serta ekonomi rakyat ketika pandemik Covid-19.- Gambar hiasan.

NEGARA sedang mengalami penularan wabak pendemik Covid-19 sehingga kini telah mencecah hingga 5,305 jumlah kes keseluruhan.

Data statistik terkini dari John Hopkins University, mendapati 2, 340, 519 individu telah dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia yang melibatkan risiko jangkitan dalam semua golongan usia.

Negara kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana telah berlangsung sejak 18 Mac lalu dan ini bermakna rakyat Malaysia perlu berada dalam rumah dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan mengekang penularan jangkitan Covid-19 yang berlaku ternyata mengubah rutin harian semua rakyat Malaysia.

Tugasan yang mencabar dan berat telah dipikul oleh barisan hadapan khususnya doktor, jururawat, kakitangan perubatan, segala tenaga di Peringkat Kementerian Kesihatan polis, bomba, RELA, para petugas pembersihan dan keselamatan amatlah kita hargai dan sanjungi.

Mereka merupakan golongan yang sanggup berkorban masa, tenaga, jiwa bahkan nyawa demi keselamatan dan kesejahteraan negara. Pengorbanan serta sumbangan yang dilakukan barisan hadapan yang berkhidmat untuk kita sebagai orang awam perlulah dihargai sampai bila-bila.

Antara para petugas tersebut mungkin ramai yang tidak menyedari adanya kumpulan kakitangan awam yang dikenali sebagai Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan juga Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).

Mereka merupakan petugas hadapan dan antara individu terawal yang bertanggungjawab sepenuhnya memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 dalam komuniti yang berisiko dijangkiti.

Pegawai PKP dan PPKP ini telah diberi kuasa dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] (dalam Sek 2 tafsiran mereka disebut sebagai Inspektor Kesihatan) bersama-sama Pegawai Kesihatan Daerah dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam.

Akta ini menjelaskan sekiranya terdapat individu yang melakukan kesalahan atau melanggar PKP maka mereka telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang dan pendakwaan boleh dikenakan terhadap mereka.

Kesiapsiagaan kumpulan petugas hadapan itu sangat penting dalam pelaksanaan tugasan berdepan dengan risiko jangkitan dalam usaha menyiasat, menyaring dan mengasingkan individu berisiko dalam penguatkuasaan undang-undang.

PKP dan PPKP ini bertugas di setiap Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Pintu Masuk Antarabangsa Negara dan hospital juga di wad Isolasi bagi pengesanan Kontak dan dekontaminasi/disinfection di tempat jangkitan serta pengesanan kontak pesakit Covid-19 dalam usaha memerangi wabak ini kerana telah terbukti beberapa kluster Covid-19 yang dilaporkan di negara kita adalah berpunca hanya dari seorang individu pembawa virus sahaja yang mampu memberi impak yang besar terhadap organisasi dan negara

Pada masa kini dianggarkan hampir 5,000 jumlah PKP dan PPKP di seluruh Malaysia yang bertugas di lapangan iaitu di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengamal Kesihatan Persekitaran ini telah bertugas dalam menangani kes penularan Covid-19 sejak bulan Januari lalu sebelum WHO mengisytiharkan isu Covid-19 sebagai pandemik lagi.

Daripada segi bebanan tugas pula, mereka sangat terkesan terutamanya di kawasan yang mempunyai kes yang tinggi di mana mereka perlu menjalankan penyiasatan beratus-ratus kes setiap hari dengan bilangan kakitangan yang terhad.

Mereka juga perlu mengawal kes penyakit-penyakit lain yang sedia ada seperti Denggi, Rabies, Measles, HFMD Tuberculosis (TB) dan polio yang juga memerlukan perhatian di mana peningkatan kes berlaku di beberapa kawasan.

Wajarlah perjawatan PKP dan PPKP diberi perhatian kerana negara amat memerlukan individu yang terlatih dan cekap dalam menangani pelbagai isu penting dalam bidang tugas Kesihatan Persekitaran dalam kalangan masyarakat awam di Malaysia.

Secara umumnya profesion ini berperanan dalam bidang kesihatan persekitaran dan tugasan utama adalah dalam pencegahan risiko kesihatan persekitaran, penggalakan dan perlindungan kesihatan awam dan persekitaran dalam bidang-bidang yang berikut; kawalan penyakit, kebersihan dan keselamatan makanan, perumahan dan kesihatan persekitaran, kawalan vektor, kualiti air minuman, sanitasi air, kesiapsiagaan kecemasan dan menguatkuasakan undang-undang kesihatan awam selaras dengan peranan dan fungsi sepertimana yang ditetapkan oleh Expert Committee to the World Health Organisation Report No.79 atau pindaan-pindaannya.

Keperluan perjawatanan PKP dan PPKP perlu dinilai dan dipertimbangkan semula memandangkan Malaysia mempunyai jumlah penduduk seramai 32 juta.

Saranan wajar agar perjawatanan ini ditambah kerana berdasarkan International Federation of Environmental Health (IFEH). Negara kita memerlukan seramai 10,700 pegawai yang terlatih bagi menangani isu kesihatan persekitaran yang begitu mencabar di era globalisasi masa kini.

Di Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan peneraju kepada universiti awam bagi penawaran Program Bacelor Sains Kepujian dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan sejak tahun 1998 lagi.

Sehingga kini program telah menghasilkan 838 orang graduan dari 19 Kohot
Program di UPM juga telah memperoleh akreditasi badan antarabangsa dari Chartered Institute Environmental Health (CIEH) UK, sejak 2010 dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi perjawatanan PKP dan juga MQA iaitu Agensi Kelayakan Awam.

Selain UPM terdapat juga beberapa IPTA seperti UiTM, UKM, USM dan IPTS seperti UniKL, UNISEL dan MAHSA juga menawarkan program seperti ini.- MalaysiaGazette


Professor Madya Dr Juliana Jalaludin

Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Persekitaran UPM dan juga Pakar Epidemiologi Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan.