Home Sukan Pengerusi Saudi Aramco pemilik baharu Newcastle United

Pengerusi Saudi Aramco pemilik baharu Newcastle United

Pengerusi Saudi Aramco, selaku gabenor Dana Pelaburan Awam Saudi, Yasir Al-Rumayyan bakal diumum sebagai pemilik baharu kelab Newcastle United dalam tempoh 4 minggu lagi selepas mendapat kelulusan EPL.

LONDON – Proses pengambilalihan kelab Newcastle United dengan nilai £300 juta pound tinggal selangkah sahaja lagi untuk dilengkapkan.

Sumber terdekat kelab mendakwa wang deposit sudah dibayar oleh Gabenor Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, Yasir Al-Rumayyan untuk memuktamadkan pembelian tersebut.

Al-Rumayyan juga merupakan Pengerusi syarikat pengeluar minyak terbesar di dunia iaitu Saudi Aramco.

Malah, proses wang bertukar tangan sudah selesai antara penjual dan pembeli dan segala dokumen berkaitan pun sudah ditandatangani.

Cuma tinggal pengesahan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dilaporkan akan memakan masa sehingga sebulan lagi.

Andai kata segalanya berjalan lancar seperti dirancang, Al-Rumayyan akan menjadi pemilik baharu majoriti kepentingan kelab itu, sekali gus akan menjadi Pengerusi baharu St James Park.

Al-Rumayyan akan menguasai 80 peratus saham kelab itu dengan 10 peratus bakal diagihkan kepada seorang pembiaya yang berpangkalan di Dubai, Amanda Staveley dan taikun hartanah David and Simon Rubens.

Dia fasih berbahasa Inggeris dan berhubung rapat dengan Putera Mahkota Arab Mohammed Salman yang menyokong pengambilalihan kelab itu.

Mike Ashley selaku pemilik asal kelab sejak 2007 lagi akhirnya akan melepaskan segala hak ke atas kelab itu.

EPL dijangka meluluskan pengambilalihan itu dalam masa empat minggu lagi termasuk pelan kewangan pemilik baharu, selain suntikan £200 juta pound untuk proses merekrut dan infrastruktur.-MalaysiaGazette