KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penganjur Bazar Ramadan digesa untuk memulangkan semula kesemua bayaran yang diambil termasuk deposit, sewa tapak dan lain-lain bayaran yang mereka ambil dari peniaga.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata para peniaga di ibu negara sangat memerlukan wang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki hari ke 34.
“Sudahlah mereka tidak dapat berniaga, duit sewa dan deposit mereka pula dipegang.
“Soal bazar tahun depan, ia perlu diuruskan tahun depan dengan pengundian tapak dibuat semula. Tidak wajar wang milik peniaga kecil yang sangat memerlukan wang sekarang ini dipegang sebagai deposit dan tempahan selama setahun.
“Soal kerugian yang terpaksa ditanggung, khususnya penganjur pasar malam yang telah membuat persediaan, ia wajar ditanggung secara minima oleh DBKL atau Kementerian Wilayah Persekutuan yang telah memberikan harapan bahawa Bazar Ramadan akan diadakan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Khalid berkata sekiranya peniaga-peniaga bazar Ramadan bertindak mengambil semula duit mereka, maka kesemua mereka terpaksa melalui proses permohonan semula kepada DBKL.
Malah Khalid berkata, ia tidak ada jaminan untuk peniaga-peniaga ini akan dipilih semula untuk berniaga di situ.
“Di lokasi yang ada penganjur bazar, pihak penganjur mendakwa mereka telah berbelanja besar untuk persiapan bazar untuk tahun ini.
“Oleh itu, sekiranya DBKL memulangkan deposit dan sewa tapak sekalipun, mereka akan melakukan potongan untuk menampung kos mereka,” katanya lagi.
DBKL dalam satu kenyataan semalam berkata penjaja, yang sudah mendaftar dan membayar untuk perniagaan di Bazar Aidilfitri di Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan 2020 di 65 lokasi di ibu negara di beri dua pilihan berikutan pembatalan kedua-duanya.
Pilihan pertama adalah tidak menuntut bayaran fi lesen, caj perkhidmatan atau pembersihan, sewa tapak, wang cagaran dan mana-mana berkaitan yang sudah dibayar namun layak secara automatik berniaga di kedua-dua bazar terbabit pada tahun depan.
Penjaja yang mahu menuntut semula semua bayaran berkenaan akan dimaklumkan mengenai cara permohonan serta proses pemulangan berkaitan.
Bagaimanapun, mereka yang memilih pilihan kedua itu tidak layak untuk berniaga di kedua-dua bazar berkenaan pada tahun depan sebaliknya perlu membuat permohonan semula sebaik dibuka kelak. – MalaysiaGazette