Home Ekonomi Google Malaysia antara 10 majikan pilihan rakyat Malaysia – Jobstreet

Google Malaysia antara 10 majikan pilihan rakyat Malaysia – Jobstreet

Ketua Pegawai Komersil SEEK Asia, Martin Hayden (kiri) bergambar bersama Pengurus Industri Google Malaysia, Jia Wen Chuah sebagai pemenang utama pada Majlis Anugerah Sepuluh Syarikat Terbaik JobStreet.com 2017 di Hotel Aloft, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Portal pekerjaan atas talian, Jobstreet, mengumumkan 10 majikan terbaik mengikut undian rakyat Malaysia bagi 2017.

Google Malaysia diiktiraf menduduki tempat pertama apabila usahanya menerapkan keseimbangan dalam kerjaya dan sosial menjadi faktor pemilihan ramai selepas menduduki tempat ketiga dalam kategori sama tahun lalu.

Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dinobatkan syarikat terbaik bagi rakyat Malaysia berdasarkan kepada kaji selidik lebih 10,241 responden seluruh negara yang merangkumi pelbagai sektor dan pangkat.

Selain Google Malaysia, turut disenaraikan dalam 10 Majikan Terbaik oleh Jobstreet ialah Petronas, Shell Malaysia, Sime Darby, dan Air Asia Berhad.

Menduduki tempat keenam adalah Maybank, diikuti Nestle Malaysia, Intel Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Eco World Development Group Berhad.

Di antara kesemua syarikat berkenaan, enam daripadanya adalah syarikat tempatan.

Menurut Pengurus negara Jobstreet, Chook Yuh Yng, responden yang terdiri daripada pekerja pelbagai pangkat dan bidang nyata mementingkan peluang pekerjaan yang lebih cerah dan gaji yang lumayan sebagai faktor utama dalam memilih syarikat terbaik untuk mereka bekerja.

“Kita patut bangga sebab ada enam syarikat tempatan yang memasuki 10 tertinggi. Apa yang calon cari adalah peluang pekerjaan dan gaji.

“Kajian ini diadakan bagi mencari maklumat menyeluruh mengenai minat rakyat Malaysia terhadap syarikat dan peluang pekerjaan yang diinginkan oleh rakyat dan ini merupakan faktor utama bagi mereka untuk mencari pekerjaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial SEEK Asia, Martin Hayden dan Ketua Pegawai Produk (CPO) SEEK Asia, Kenneth Chin.

Tahun lalu, Petronas merangkul gelaran itu diikuti tempat kedua, milik Shell Malaysia. – MalaysiaGazette.