KUALA LUMPUR – Dalam diam, pemain tengah Melaka United (MU), Safiq Rahim kini mencuri perhatian peminatnya apabila kini rancak berniaga makanan selain memukau mereka dengan aksi di atas padang.
Bekas pemain kebangsaan itu membuka bisnes yang dikenali sebagai @terer8kitchen yang terkenal dengan pilihan beberapa menu seperti bahulu kemboja, sambal bilis, nasi ambeng dan rendang daging sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun paling membuka selera tentunya nasi ambeng apabila hidangan masyarakat Jawa itu berada dalam senarai kemaskini laman Instagram pemain berusia 32 tahun itu.
Menerusi kemaskini di laman Instagram @srsafiq, pemain itu berkongsi keterujaannya dengan hidangan terbabit yang turut disertakan lauk ayam masak merah, masak kicap dan juga ayam goreng.
Malah Safiq turut memberitahu kepada penyokongnya yang juga boleh mendapatkan hidangan nasi ambeng dengan menggunakan khidmat penghantaran.
Bekas pemain JDT itu turut membayangkan menu terbabit akan diperluaskan ke Kuala Lumpur selepas ini.
Dalam masa sama, Safiq turut berkongsi ‘kemahiran’ menyediakan nasi ambeng menerusi satu klip video juga di laman Instagramnya. – MalaysiaGazette