Home Krik Krik “Ayah bukan badut!”

“Ayah bukan badut!”

Reaksi Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Taman Sri Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2020

ABDUL Rani Kulop Abdullah adalah figura yang tak perlu diperkenalkan lagi. Dikenali sebagai ‘Raja Report’, kelibatnya sering kelihatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kerana membuat laporan polis terhadap pelbagai isu di dalam media sosial khususnya yang melibatkan kepentingan agama, Raja dan orang Melayu.

Berusia 65 tahun, bekas pesara tentera berpangkat Pegawai Waran 1 ini adalah anak jati Kuala Kangsar, Perak dan pernah berkhidmat selama 22 tahun dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Malaysia Gazette yang menemuinya sempat ‘membongkar’ beberapa perkara mengenai lelaki berwajah garang dan berambut panjang ini yang banyak ‘mencuit’ hati netizen dengan keletahnya serta imej pakaiannya yang sedikit ‘pelik’ hingga menjadi bualan ramai.

Berikut adalah diantara petikan menarik yang sempat Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) ini kongsikan bersama kami.

PENGALAMAN TENTERA

“Ayah adalah anggota Unit Combat Intelligence Squad (UCIS). Ayah pernah dihantar berkursus di Pusat Latihan Peperangan Khas (PLPK) di Kem Terendak, Melaka. Kami dilatih secara khusus untuk bergerak dalam kumpulan kecil (RKK) dan ayah terpilih sebagai penuntut terbaik. Selepas berpuluh tahun berkhidmat untuk negara, ayah pencen penuh.”

LAPORAN POLIS

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup bersama NGO Gabungan pada sidang media selepas membuat laporan polis berkaitan pemandu mabuk di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 21 FEBRUARI 2020

“Kali pertama ayah buat laporan polis pada 2012 mengenai isu coklat Cadbury yang diragui kandungan halalnya. Ketika itu kali pertama ayah mendapat perhatian media. Pada tahun 2018 sahaja, ayah dah buat 1,000 kali laporan polis.

Tujuan ayah buat laporan polis semua ini adalah untuk menghentikan penghinaan dalam kandungan media sosial terhadap pelbagai isu yang mengancam keharmonian negara dan rakyat kita yang berbilang agama, bangsa dan keturunan ini.

“Yang pasti jumlah laporan polis yang ayah buat mungkin lebih banyak dari itu, cuma ayah tak ingat”

PAKAIAN

“Ayah mengambil keputusan untuk seragamkan semua ahli di bawah NGO ayah dengan menggunakan pakaian yang orang tengok sekarang. Beret merah ini kerana warnanya melambangkan darah. Ia menujukkan keberanian untuk berjuang, berani mengatakan yang benar.

Pakaian seragam milik Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah pada temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Taman Sri Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2020

“Spek hitam ini kerana ayah dulunya rabun, merata ayah letak spek. Ada dekat motorsikal, ada dekat kereta, ada dekat rumah. Sejak berbelas tahun pakai spek hitam, ayah dah tak perlu pakai spek rabun dekat semua ini kerana mata ayah dah pulih. Orang hairan pukul 3 pagi pun ayah pakai spek hitam. Ada yang teringin nak tengok mata (sebenar) ayah, baik jangan. Nanti kamu akan tergoda seperti mana arwah Seniwati Norizan tergoda melihat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (ketawa).

Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Taman Sri Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2020

“Fon telinga ini ‘simbolik’. Ia menujukkan kita mendengar masalah rakyat, dengar keluhan rakyat. Jangan jadi pemimpin tetapi tidak menjalankan kewajipan. Malah ia juga dah jadi identiti ayah. Pernah masa ayah pergi satu tempat kat Sarawak tu, orang tak percaya itu adalah ayah – hanya sebab ayah tak pakai fon telinga!

Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah pada temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Taman Sri Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2020

“Tongkat ini adalah sunnah kerana nabi-nabi kita memakai tongkat. Bagi ayah tongkat adalah kuasa dan kepimpinan. Ia bukan kerana ayah nak pukul orang. Tongkat ayah banyak, yang selalu ayah bawa adalah yang berkepala naga, ini adalah hadiah seseorang. Jangan kata tongkat naga, tongkat ular pun ayah ada!”

AKAUN FB PALSU

“Ayah sedih kerana ramai orang anggap Facebook (FB) yang mereka tengok itu ayah punya sedangkan banyak yang palsu. Antaranya Abdul Rani Kulop Fans. Masa itu ayah tak reti lagi pasal FB. Banyak akaun palsu yang guna identiti ayah ni ada yang berunsur kelakar, ada yang bantai pemimpin dan sebagainya. Akhirnya ayah yang dapat tempias. Apatah lagi bila mereka guna kata-kata kesat, kata-kata makian dan menujukkan gambar-gambar berunsur lucah. Mungkin niat mereka nak buat lawak, tetapi bagi ayah ia sangat kasar.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup.

“Setakat ini ayah dah kesan hampir 25 akaun palsu yang menggunakan identiti ayah dan mereka-reka cerita. Kalau cerita yang elok, ayah tak marah. Ini sampai ayah terpaksa membuat laporan polis kerana ada ancaman yang dibuat terhadap ayah.

“Tak kurang juga yang menggunakan pengikut mereka yang ramai itu untuk mengaut keuntungan menggunakan nama ayah. Duit kamu dapat, ayah apa pun tak ada. Apa salah kongsi sedikit keuntungan kamu itu dengan ayah sebab ayah bukannya ada kerja, harap pencen saja.”

POLIGAMI

Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bergambar kenangan bersama keluarga pada temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Taman Sri Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2020

“Ayah kali pertama berkahwin pada tahun 1981 dan dikurniakan enam cahayamata. Cucu ada 11 orang. Kemudian ayah berkahwin kali kedua pada tahun 2003 dan dapat lagi tiga orang cahayamata. Ayah juga selalu bersikap adil. isteri muda kena faham. Kalau mereka faham, mereka akan saling menghormati.”

KISAH SEDIH

Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bergambar bersama koleksi tongkat miliknya pada temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Taman Sri Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2020

“Orang kenal Rani Kulop sebagai orang yang ceria, suka senyum dan suka berbual. Tak pernah lagi dengar orang kata ayah sombong. Itu luaran. Ayah tak tunjuk sakit ayah, ayah tak tunjuk susah ayah, ayah tak tunjuk masalah ayah. Orang ingat Rani Kulop kaya. Hati ayah, Allah sahaja yang tahu. Tetapi bagi ayah itu tak penting. Bagi ayah yang penting orang Melayu jangan berpecah. Kalau orang Melayu tak bersatu, macam mana kita nak angkat agama kita.

“Ayah ni tak ada pendapatan. Hanya harap pencen yang tak seberapa itu. Adalah sikit-sikit orang bagi duit buat iklan. Itu pun ada yang janji tetapi tak bagi!” – Malaysia Gazette.

https://youtu.be/wZZLBk0V4AM

2 Komen

  1. Tokoh macam ni lah khalayak patut sanjung dan beri pengiktirafan. Kalau yang Ketua PATRIOT tu yang tak sedar diuntung tu tak payahlah. Buang saja orang macam tu jauh jauh.

Comments are closed.