Home Nasional Tiada notis awal PKPD Pasar Borong KL elak warga asing ‘lari’

Tiada notis awal PKPD Pasar Borong KL elak warga asing ‘lari’

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar (tiga kanan) hadir pada sidang media mengenai Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan dan PKPD Kawasan Penempatan Pasar Borong Kuala Lumpur di Jabatan Penguatkuasa DBKL, Jalan Pahang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Pasar Borong Kuala Lumpur secara rahsia bagi memastikan tidak ada warga asing ‘lari’ daripada kawasan itu, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar.

Menurut beliau, selepas kajian secara terperinci sejak dua minggu lalu dan pemantauan selama sebulan, kerajaan berpendirian notis awal hanya akan membuka peluang kepada penghuni kawasan itu yang majoriti warga asing ‘lari’ dan seterusnya berisiko untuk mewujudkan kluster jangkitan Covid-19.

“Oleh itu Pusat Pengurusan Krisis mengkaji secara terperinci hampir dua minggu dan juga risikan pihak polis dan pihak tentera khususnya pihak KKM. Maka akhirnya kita membuat keputusan untuk membuat PKPD di tempat tersebut namun kita dapat pelbagai cabaran kalau kita beritahu awal maka mereka lari maka bila mereka lari akan wujud lagi kluster lain yang akan berubah-ubah, maka kita hendak memastikan perkara itu tidak berlaku.

“Maka kita perbaiki Prosedur Operasi Standard (SOP) kita sebab itu ramai yang tidak tahu hanya selepas perkara itu dilaksanakan kerana kita nak pastikan kepentingannya bukan untuk publisiti tetapi adalah untuk memastikan kita dapat kawal wabak ini, kita hanya dapat memastikan dengan bila kita dapat kepung satu kawasan dan mereka tidak keluar dan lari,” katanya ketika sidang media di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Usaha mengesan etnik Rohingya di kawasan itu juga menjadi cabaran besar sekiranya ada yang lari kerana takut tempat tinggal mereka diwartakan sebagai PKPD, kata Santhara.

Terdahulu beliau berkata, kerajaan menguatkuasakan PKPD di kawasan itu termasuklah Pusat Bandar Utara untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat saringan ujian Covid-19 kepada semua pekerja asing.

Apatah lagi menurutnya, selepas satu kematian melibatkan warga Myanmar di kawasan itu akibat Covid-19 selain rekod peningkatan kes.

“Dia adalah seorang warga Myanmar berusia 36 tahun meninggal dunia di hospital sebab itu kita perlu berhati-hati dalam melakukan PKPD perancangan nak buat ini bukan bermula semalam dan sebulan lepas kita memantau. Kita tidak boleh terus tutup pasar borong ini sebelum ini sebab ia nadi bekalan makanan 1 Malaysia,” jelasnya.

Santhara dalam pada itu yakin lebih 95 peratus warga asing di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur berada di kediaman mereka semasa PKPD digerakkan pada awal pagi semalam.

“Daripada peratusannya kalau nak kata 100 peratus ada di sana adalah tidak adil tetapi kita buat yang terbaik untuk pastikan lebih 95 peratus penduduk ada di sana,” katanya lagi.

Mengulas lanjut agihan makanan kepada penghuni kawasan sekitar itu akan bermula hari ini yang disumbangkan daripada syarikat korporat.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan Pasar Borong KL di Selayang akan ditutup sehingga Khamis ini untuk proses sanitasi.

Dalam sidang media yang sama Panglima 12 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar memaklumkan seramai 100 pegawai dan 222 anggota Angkatan Tentera Malaysia dikerahkan untuk bertugas di kawasan PKPD keenam tersebut.-MalaysiaGazette