KUALA LUMPUR – Pasukan Respons Pantas (PRP) yang ditubuhkan pada 24 Mac lalu setakat ini telah menjelaskan sebanyak 205 berita palsu kepada orang ramai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berita palsu yang dijelaskan oleh PRP ialah berita-berita atau hebahan-hebahan yang melibatkan perkara seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hal-hal berhubung pandemik Covid-19 yang menjadi topik perbincangan dalam kalangan masyarakat.
PRP dianggotai oleh kakitangan Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pasukan ini yang telah ditubuhkan pada 16 Mac yang lalu akan bekerja sepanjang PKP berkuatkuasa. Fokus PRP adalah untuk memantau dan menjelaskan berita-berita mahupun hebahan-hebahan yang mencurigakan kesahihannya dan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak terlibat agar berita dan hebahan tidak menyebabkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, rakyat Malaysia dimohon untuk menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya. Untuk memastikan kesahihan berita orang ramai diseru untuk menyemak di portal Sebenarnya.my (https://sebenarnya.my/).- MalaysiaGazette