Home Nasional Siasat dakwaan petugas KKM diherdik pengarah imigresen – CUEPACS

Siasat dakwaan petugas KKM diherdik pengarah imigresen – CUEPACS

Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu dakwaan pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengherdik petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disiasat segera.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa oleh sebuah portal, Sabahkini2.com, pihaknya melahirkan rasa kekesalan kerana tindakan tersebut tidak patut dilakukan oleh seorang pegawai kerajaan apatah lagi ianya datang daripada seorang pegawai kanan berpangkat pengarah.

“CUEPACS menggesa supaya JIM menyiasat insiden tersebut dengan telus bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa akan datang. Tindakan sewajarnya daripada hasil siasatan tersebut juga perlu diambil bagi memastikan kepercayaan penjawat awam dan rakyat tidak terhakis dengan insiden berkenaan.

“CUEPACS percaya insiden seperti ini memang terjadi dalam persekitaran kerja penjawat awam. Bagamanapun ianya mungkin tidak dilaporkan kerana bimbang tindakan tersebut tidak mendapat pembelaan sewajarnya hingga yang akan dipersalahkan adalah si pengadu itu sendiri. Justeru itu, siasatan yang telus dan disusuli dengan tindakan perlu dibuat bagi memastikan insiden ini tidak berulang ada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, sebagai seorang penjawat awam yang sudah berikrar untuk berkhidmat demi negara, setiap penjawat awam seharusnya mengamalkan sikap saling hormat menghormati sesama sendiri walaupun berbeza jabatan atau pun pangkat.

“Setiap jabatan dan penjawat awam itu sendiri mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara. Dalam pada masa yang sama CUEPACS berharap semua penjawat awam kekal fokus dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Dalam keadaan negara berhadapan Covid-19, semua pihak perlu bergandingan dan bekerjasama bagi memastikan kejayaan negara menyekar penularan wabak berkenaan, katanya.- MalaysiaGazette