Home Seni Hidup Zaleha sedia menu istimewa setiap Jumaat sepanjang PKP

Zaleha sedia menu istimewa setiap Jumaat sepanjang PKP

Peniaga, Zaleha Abu Bakar menyediakan nasi ayam goreng kunyit yang diedarkan percuma sepanjang PKP di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto ihsan MPPA.

KUALA LUMPUR – Setiap hari Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPRT) di Bukit Jalil, PPRT Enggang Taman Kinrara dan pangsapuri kawasan sekitar mendapat menu ‘istimewa’ yang diagihkan oleh sukarelawan.

Sebanyak 240 bungkus nasi ayam diberikan semasa tempoh PKP ini berlangsung hasil sumbangan seorang pengusaha restoran kepada golongan sasaran terutamanya yang mempunyai jumlah ahli keluarga ramai serta orang kurang upaya.

Asyraff Abu Bakar (kiri) dibantu dua sukaralawan melakukan kerja lerja pembungkusan makanan Zaleha di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto ihsan MPPA.

Zaleha Abu Bakar, 59, pengusaha restoran makanan mengambil inisiatif apabila melihat kesungguhan pendakwah terkenal Ustaz Ebit Liew membuat kerja-kerja sukarelawan dalam tempoh PKP.

“Saya mengikuti perkembangan semasa dalam media sosial bagaimana Ustaz Ebit Liew memberi sumbangan berupa makanan kepada sebahagian golongan sasaran tidak kira bangsa dan kaum.

“Melihat kesungguhan beliau dari situ timbulnya idea untuk saya membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya ketika dihubungi di restorannya di Taman Puncak Jalil dekat sini baru-baru ini.

Menurut Zaleha, menu makanan tengahari itu diagihkan dengan bantuan sukarelawan penduduk serta ahli ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

Seorang wakil NGO menyerahkan sumbangan makanan yang dimasak Zaleha kepada penghuni PPRT Enggang, Taman Kinrara..Foto ihsan MPPA.

Beliau yang dibantu anak lelaki termasuk tiga orang pekerja bagi proses penghasilan menu masakan dan pembungkusan bermula jam 9 pagi sehingga jam 12 tengahari di restoran miliknya.

Selain menu nasi ayam terdapat dua menu lain dihasilkan juga iaiitu nasi ayam goreng kunyit dan nasi ayam kurma.

“Alhamdulillah saya sangat sangat bersyukur dapat meringankan beban golongan yang terkesan dengan PKP ini tidak mengira kaum.

“Ramadan ini saya akan tetap teruskan sumbangan ini untuk juadah berbuka pula”, jelasnya.- MalaysiaGazette