Home Pendapat Covid-19: Perang belum tamat, kita belum menang

Covid-19: Perang belum tamat, kita belum menang

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja pemasangan kawat besi bagi mengawal laluan keluar masuk Taman Sri Murni berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2020.

RATA-rata anggota masyarakat mula menarik nafas yang lega apabila kes baharu positif dan kes kematian angkara wabak Covid-19 menunjukkan trend yang menurun sejak beberapa hari ini dengan kes positif berada di bawah paras 100 kes. Kita mula
yakin strategi kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP), keberkesanan faktor pengurusan krisis yang efisien serta kesungguhan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak ini mula menampakkan hasil yang luar biasa. Namun pada ketika semuanya kelihatan positif dan memberangsangkan, jangan sesekali kita lupa betapa perjuangan memerangi wabak ini masih berterusan umpama perang masih sedang berlaku, walaupun tidak kalah namun kita juga masih
belum memenanginya.

Tatkala anggota masyarakat kelihatan gembira degan perkembangan semasa dengan harapan PKP akan ditamatkan dengan segera terutamanya kemungkinan berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti biasa pada tahun ini, timbul kerisauan dan kembimbangan yang tinggi dalam kalangan pihak berkuasa betapa keterujaan dan kegembiraan melampau masyarakat boleh mengundang padah. Hal ini demikian kerana pihak berkuasa bimbang anggota masyarakat akan alpa dan leka
dengan prestasi semasa lantas mula tidak mematuhi arahan PKP serta amalan keselamatan dan kesihatan yang dipraktik selama ini seperti kerap mencuci tangan, menggunakan pensanitasi tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan penjarakan sosial 1 meter.

Kecenderungan untuk perkara ini berlaku dilihat sangat tinggi kerana sehingga ke hari ini masih ramai yang degil dan ingkar arahan PKP. Jadi kita khuatir keseronokan kita hanya bersifat sementara andai kita terus alpa, leka dan degil. Tambahan pula
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu akan datang berikutan aktiviti pengesanan kes masih giat dilakukan oleh KKM ketika ini. Tumpuan kini banyak terarah kepada pengesanan kes terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jangan lupa kawasan PKPD juga semakin bertambah, menunjukkan potensi kes baharu tetap tinggi dan
membimbangkan.

Justeru sebarang bentuk kelonggaran terhadap arahan PKP yang sedang berkuatkuasa masih bukan lagi satu pilihan yang terbaik pada ketika ini kerana peperangan masih belum berakhir. Ironinya, kita tidak boleh terus mengisytiharkan kemenangan tatakala peperangan masih berterusan. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah memberi amaran bahawa kelonggaran sekatan perjalanan hanya boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Hal ini kerana jika kelonggaran itu dilakukan terlalu cepat, dikhuatiri akan menyebabkan wabak Covid-19 merebak semula, apatah lagi jika PKP ditamatkan secara serta merta di seluruh negara. Malah pesakit positif Covid-19 yang telah pulih juga dilaporkan boleh dijangkiti semula. Pilihan terbaik sekarang ialah perlu terus bersabar dan jangan terlalu cepat meraikan kemenangan kerana peperangan belum berakhir.

Jadi apa yang patut kita buat sekarang ialah, terus patuh kepada arahan PKP, terus amalkan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang wajar untuk mencegah jangkitan wabak ini sekali gus perlu mula untuk belajar menyesuaikan diri dengan
gaya hidup kebiasaan baharu ini untuk sekurang-kurangnya sehingga vaksin atau rawatan yang efektif ditemui.

Hakikatnya, kejayaan sekarang adalah hasil tuaian melalui langkah proaktif pihak berkuasa ketika PKP fasa pertama dan kedua. Untuk melihat sejauh mana perkembangan positif ini terus konsisten dan menunjukkan trend yang menurun, kita perlu tunggu dua minggu lagi untuk melihat hasil tindakan ketika PKP fasa ketiga ini. Atas sebab itu, penulis percaya tempoh dua minggu yang akan datang ini adalah tempoh masa yang cukup kritikal untuk kita mengetahui sama ada berjaya mengekang dan mengawal atau tidak penularan wabak ini secara total. Maka
walaupun berat untuk diterima, bersedialah secara mental dan fizikal bagi menghadapi kenyataan besar kemungkinan tempoh PKP ini akan dilanjutkan lagi ke fasa keempat. Kita perlu benar-benar memastikan musuh sudah ditewaskan sebelum
mengisytiharkan kemenangan dalam peperangan ini.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia