Home Nasional LKIM kongsi maklumat proses tuna dengan FMO Thailand

LKIM kongsi maklumat proses tuna dengan FMO Thailand

Irmohizam Ibrahim

MANZAIDI MOHD AMIN

SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pertubuhan Pemasaran Ikan Thailand (FMO) bersetuju menjalin kerjasama dua hala dalam usaha membangunkan sektor perikanan kedua-dua negara.

LKIM memilih FMO berikutan Phuket adalah salah satu pusat pendaratan ikan terbaik di Asia Tenggara terutama bagi spesies ikan tuna.

Menurut Pengerusi LKIM, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, Malaysia gembira dapat berkongsi maklumat dalam pemprosesan ikan tuna dan menjadikan kompleks LKIM negara ini setaraf komplek FMO Thailand.

Kata beliau, kompleks FMO Thailand turut menjadi pusat mengeksport produk perikanan terutama ikan tuna ke Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

“Malaysia juga mempunyai pusat pendaratan yang jauh lebih banyak berbanding di Thailand dan sepatutnya nelayan kita mengambil ruang ini untuk mempelbagaikan ekonomi.

“Dalam pertemuan ini, saya menekankan kebimbangan kita akan sebarang elemen dan tindakan pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia untuk ditangani bersama kedua kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dalam lawatan tiga hari dari 26 hingga 28 Disember itu, Irmohizam bersama Ketua Pengarah LKIM, M. Saedon Ab. Majid turut melakukan tinjauan di pelabuhan pendaratan ikan, pemprosesan ikan tuna dan penternakan benih udang FMO.

Rombongan beliau disambut Pengarah FMO, Profesor Manop Kanjanaburangkul; Ketua Pelabuhan Perikanan Phuket, Somphian Chalothon dan Pengerusi Persatuan Perikanan Phuket, Somyot Wongbunyakul.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, dari bidang penternakan dan pembenihan udang, pihaknya tertarik dengan usaha dilakukan pengusaha penternakan udang di Phuket.

Beliau berharap, penternak udang di Malaysia mencontohi teknologi dan pemasaran udang di Phuket.

“Kerjasama dua negara ini penting dalam usaha memastikan bekalan udang dalam negara ini mencukupi dan harga stabil,” katanya. – MalaysiaGazette