KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya merangka satu garis panduan pencegahan terhadap wabak Covid-19 untuk dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia.
Kaedah itu termasuklah melaksanakan kempen-kempen kesihatan serta meningkatkan amalan kebersihan kepada semua lapisan masyarakat, kata Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.
“Sekiranya negara kita disahkan bebas Covid-19 namun ada risiko ia menyerang kembali kerana seluruh dunia sedang berjuang untuk memerangi Covid-19.
“Langkah pencegahan ini perlu dilaksanakan untuk mengurangkan risiko jangkitan baru berlaku dalam negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dominic berkata, penurunan drastik kes Covid-19 pada fasa ketiga ini adalah satu petanda baik dalam memerangi wabak tersebut.
Ujarnya, perubahan angka dari tiga digit kepada dua digit kes baharu setiap hari menunjukkan kita semakin hampir dalam memutuskan rantaian pandemik yang melanda negara kita.
“Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan garis panduan pencegahan Covid-19 selepas tamat tempoh PKP.” ujarnya. – MalaysiaGazette