KUALA LUMPUR – Kehadiran Ramadan semestinya dinantikan oleh setiap umat Islam di serata pelusuk dunia.
Namun begitu, kedatangan Ramadan kali ini dilihat sedikit berbeza apabila umat Islam diduga dengan pandemik Covid-19 yang mana sedikit sebanyak mengubah corak perjalanan rutin seharian masing-masing.
Sebagai sebuah stesen penyiaran utama tanah air, Astro peka akan hal itu dan terus komited memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat Malaysia sentiasa bersama dan menyemarakkan semangat yang situasi sekarang akan beransur pulih kelak.
Justeru, pada tahun ini, Astro sekali lagi tampil dengan sebuah tema utama diapit dengan mesej yang kuat di sebaliknya bagi melatari kempen Ramadan Raya kali ini.
Mengangkat tema Indahkan Senyuman, Eratkan Jalinan, Astro bakal memberikan sajian hiburan serta aktiviti-aktiviti kempen yang mengutamakan hubungan persaudaraan dengan penggunaan komunikasi maya menerusi kesemua platformnya yang didukung dengan pelbagai intisari rancangan.
Malah aktiviti mahupun rancangan yang bakal disajikan diyakini mampu mengukir senyuman serta menggembirakan setiap lapisan masyarakat.
Astro percaya keutuhan sesebuah ikatan bermula daripada senyuman dan ini membolehkan rakyat Malaysia bersatu dalam menghadapi apa jua cabaran.
Menarik tahun ini, Astro menggandingkan tujuh personaliti popular tanah air sebagai duta kempen Indahkan Senyuman, Eratkan Jalinan khusus buat pelanggan Astro, demi memberikan sinar harapan bagi hari-hari yang akan datang.
Duta-duta kempen ity adalah barisan selebriti, Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Ben Amir, Hael Husaini, Ernie Zakri, Shiha Zikir dan Chubb-E, yang masing-masing mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
Kehadiran mereka ini adalah sebagai pemangkin kepada kempen Ramadan Raya Astro 2020, bertujuan untuk membawakan senyuman menerusi pengacaraan, lakonan, persembahan serta pembabitan mereka secara amnya kepada penonton.
Ia secara tidak langsung merapatkan jurang serta mengeratkan jalinan di antara rakyat Malaysia.
Malah, Hael Husaini, di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment juga tampil dengan sebuah lagu istimewa sempena bulan Ramadan ini berjudul Senyuman Ramadan.
Tulisan lirik dan gubahan lagu yang penuh inspirasi ini merupakan hasil tangan Hael Husaini sendiri bersama MFMF.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, Astro sentiasa komited untuk menyajikan program-program terbaik yang menepati citarasa setiap individu.
“Walaupun kita dilanda musibah dan dugaan yang tidak disangka, dengan penularan wabak berbahaya Covid-19, penjarakan sosial dan perintah kawalan pergerakan; Ramadan ini, Astro tetap dengan usaha proaktifnya untuk melakar senyuman indah anda dengan pengisian yang mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah dan sesama manusia.
“Setiap platform di Astro seperti televisyen, radio, digital dan sebagainya memainkan peranan utama masing-masing dalam menyusun sajian program terbaik bagi menemani rakyat Malaysia di saat-saat yang memerlukan ini.
“Kami menawarkan banyak rancangan baharu yang merangkumi genre keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, sketsa, animasi, komedi serta rancangan khas seperti variasi serta bual bicara,” katanya.
Khairul menambah bukan itu sahaja, Astro juga tampil dengan podcast dan drama audio melalui aplikasi SYOK, waktu solat dan arah kiblat melalui aplikasi AWANI, komik digital bersama Gempak, solat tarawih secara virtual bersama personaliti radio ZAYAN, dan banyak lagi.
“Terdapat juga pelbagai promosi hebat dan hadiah istimewa khas untuk pelanggan setia Astro yang sentiasa dekat di hati kami. Jadi, jangan ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan bulan penuh keberkatan ini.
“Gunakanlah peluang ini untuk sentiasa indahkan senyuman dan terus eratkan jalinan bersama yang tersayang. Bersama-sama kita terus mengamalkan penjarakan sosial demi kelangsungan keselamatan dan kesejahteraan kita semua.
“Jarak akan menguatkan kita, untuk esok yang lebih bermakna. Indahkan senyuman, eratkan jalinan dan terus setia bersama kami di Astro,” katanya.
Sementara itu, pengisian menarik dari Astro sempena Ramadan juga boleh distrim melalui aplikasi Astro GO di mana sahaja dan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette