Home Nasional Juruterbang kesan bot PATI antara 6 pegawai naik pangkat

Juruterbang kesan bot PATI antara 6 pegawai naik pangkat

Mejar Faizul Hussien Ismail dinaikkan ke pangkat pemangku Leftenan Kolonel dan memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah No 20 Skuadron semalam.

KUALA LUMPUR – Juruterbang pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berjaya mengesan bot pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya di perairan Langkawi pada minggu lepas antara enam pegawai kanan dinaikkan pangkat semalam.

Memetik laman Facebook TUDM, Mejar Faizul Hussien Ismail dinaikkan ke pangkat pemangku Leftenan Kolonel dan memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah No 20 Skuadron (Skn).

Faizul telah menerajui skuadron tersebut sejak Januari lalu setelah mengambil alih tugas daripada Leftenan Kolonel Azril Omree Hasbullah.

Upacara pemakaian pangkat tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan di Markas Tentera Udara di sini.

Lima lagi pegawai kanan TUDM turut dinaikkan ke pangkat sama.

Mereka ialah Mejar Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad sebagai Ketua Skn Charlie Cawangan Pengurusan Operasi Udara, JBPM; Mejar Muhammad Halid Abdul Hamid (PS 1 Komunikasi Markas Nukleus Operasi Bersama, ESSCOM) dan Mejar Balasubramaniam Maruthamothoo (Ketua Cawang Tadbir PU Sendayan).

Dua pegawai lain ialah Mej Yusnizam Mohamad Jalil (Ketua Cawang Tadbir KTU) dan Mejar Roslan Al Mustaffa (Ketua Cawang Operasi KTU).- MalaysiaGazette