Home Nasional Kerajaan berusaha dapatkan vaksin Covid-19

Kerajaan berusaha dapatkan vaksin Covid-19

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan berusaha memastikan Malaysia diberi keutamaan bagi mendapatkan vaksin Covid-19 sekiranya ia ditemui kelak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan mengenai perkara itu kini sedang dilakukan bersama beberapa negara yang dikenalpasti mempunyai keupayaan mengeluarkan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu perlu membuat penyelidikan terhadap vaksin tersebut untuk mengkaji kesan sampingannya.

“Malaysia, dipilih untuk dijadikan tempat bagi membuat kajian sebagaimana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan rawatan.

“Contohnya ada empat kumpulan ubat, Malaysia dikenalpasti sebagai sebuah negara yang boleh menjalankan kajian (ubat) itu.

“Begitu juga jika boleh berbincang dengan negara yang mengeluarkan vaksin, kita bersedia menerima vaksin itu untuk menjalankan kajian, kita boleh pantau sama ada vaksin itu berkesan atau tidak,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di KKM hari ini.

Noor Hisham mengulas pertanyaan wartawan mengenai cadangan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dalam memastikan negara ini terlibat pada peringkat ujian terhadap manusia bagi mendapatkan vaksin secepat mungkin apabila ia sedia untuk digunakan.

Semalam, Menteri Sains, Taknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa negara untuk menjalinkan kerjasama selain turut menerima cadangan bagi membantu negara terbabit dalam ujian klinikal.

Antara negara itu ialah China, United Kingdom (UK), Koraa Selatan, India dan Bosnia.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sekiranya Malaysia memperolehi vaksin berkenaan, tumpuan boleh diberikan untuk menghasilkan vaksin kerana setakat ini Malaysia masih tidak mempunyai keupayaan itu.

“Mungkin formula sudah ada, kita boleh mengeluarkannya di negara kita. Kerjasama secara bersepadu dengan negara lain, data kita contohnnya boleh menyumbang kepada kajian penyelidikan vaksin bersama.

“Ini walaupun kita tak ada keupayaan asas untuk mengenalpasti vaksin. Tetapi dalam proses pembuataan kita boleh menyumbang. Apabila ada vaksin yang boleh menyembuh, kita nak pastikan Malaysia diberi keutamaan dapatkan vaksin itu untuk negara kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette