Home Pendapat Tempoh PKP perlu ditambah, jangan ambil mudah jangkitan COVID-19

Tempoh PKP perlu ditambah, jangan ambil mudah jangkitan COVID-19

Anggota tentera melakukan kerja-kerja pemasangan kawat besi bagi mengawal laluan keluar masuk Taman Sri Murni berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2020.

Oleh DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pihak kerajaan perlu menambah lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara kita bagi memastikan penularan wabak Novel Koronavirus (COVID-19) dapat dihentikan sepenuhnya dalam negara kita serta tidak lagi menjadi ancaman kesihatan yang serius terhadap negara kita.

Pelanjutan perintah PKP ini perlu dilakukan memandangkan ianya bakal berakhir pada 28 April. Untuk rekod, pihak kerajaan telah mengumumkan perintah PKP ini sebanyak dua kali dalam negara kita bermula pada 18 Mac yang lalu.

Pihak kerajaan tidak boleh memandang ringan terhadap virus COVID-19 ini kerana ia adalah sejenis virus baru yang amat berbahaya kepada kesihatan manusia serta amat mudah menjangkiti orang ramai. Apa yang lebih membimbangkan tiada vaksin atau penawar khas yang boleh mengubati mereka yang telah dijangkiti dengan virus ini pada ketika ini.

Walaupun terdapat penurunan jumlah kes jangkitan COVID-19 baru dalam negara kita semenjak kebelakangan ini, kita tidak seharusnya memandangnya sebagai satu penamat terhadap segala usaha yang diambil bagi membendung penularan pandemik itu.

Kita harus ketahui jumlah jangkitan COVID-19 masih meningkat dengan tinggi diserata dunia. Negara jiran terdekat kita juga seperti Singapura dan Indonesia turut melaporkan jumlah kes jangkitan baru COVID-19 yang banyak setiap hari.

Sekiranya kita menamatkan perintah PKP sedia ada dalam negara kita pada ketika ini, ia dibimbangi boleh menjejaskan segala usaha yang telah dan bakal diambil bagi membendung penularan COVID-19 ini.

Pelanjutan tempoh PKP dalam negara kita juga perlu dilakukan kerana negara kita masih memiliki jumlah pesakit yang telah dijangkiti dengan COVID-19 yang ramai yang masih menerima rawatan dalam hospital.

Satu tempoh menunggu juga perlu diberikan bagi menilai tahap kepulihan kesihatan pesakit yang telah sembuh dari jangkitan COVID-19 bagi mengelakkan kemunculan semula virus berkenaan didalam tubuh badan mereka. Proses saringan juga sedang giat dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesan individu – individu yang dijangkit dengan COVID-19 dalam negara kita terutamanya dikalangan warga asing.

Adalah masih terlalu awal untuk menghentikan perintah PKP ini. Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya pihak kerajaan melanjutkan perintah PKP ini dalam negara kita sekurang – kurangnya sehingga penghujung bulan Jun atau awal bulan Julai bagi betul – betul memastikan negara kita bebas dari risiko ancaman COVID-19 ini.

Perintah PKP berkenaan telah diumumkan oleh sendiri YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara intipati utama perintah PKP berkenaan adalah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan lain – lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti, penutupan semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Perintah PKP terbabit yang turut meliputi arahan penutupan banyak premis dan tempat kerja dalam negara dikuatkuasakan diseluruh Malaysia. Pematuhan terhadap segala perintah PKP yang telah dikeluarkan ini oleh semua pihak dalam negara kita adalah penting sekiranya kita ingin membendung penularan virus COVID-19 dengan lebih cepat dan berkesan dalam negara kita.

Setiap perintah PKP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan terhadap isu ini perlu difahami dengan baik, dihormati dan yang paling penting dipatuhi tanpa banyak alasan oleh semua pihak tanpa mengira status dan latar belakang mereka.

Pihak berkuasa yang berkaitan perlu melakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan ketat undang – undang terhadap setiap perintah PKP yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Sikap berlembut terhadap mereka yang gagal serta masih berdegil untuk patuhi perintah kawalan pergerakan perlu dihentikan dengan serta – merta.

Tindakan undang-undang tegas perlu diambil dengan segera terhadap mana – mana pihak yang didapati masih berdegil melanggar perintah PKP yang telah dikeluarkan seperti yang telah diperuntukkan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], Akta Polis 1967 [Akta 344], Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan lain – lain lagi. Tindakan undang – undang juga boleh diambil dibawah Warta Kerajaan Persekutuan iaitu Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Kerjasama semua pihak adalah penting sekiranya kita ingin membendung virus COVID-19 ini dengan cepat dan dengan jayanya dalam negara kita.

Pihak kerajaan juga perlu melakukan proses pemantauan dengan lebih ketat lagi terhadap semua pintu masuk negara terutamanya disempadan darat dan laut bagi mengelakkan kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) yang berisiko dijangkiti dengan virus COVID-19 ini.

Muzaffar Syah Mallow

— Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)