KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan cadangan memotong gaji penjawat awam oleh Pengarah Urusan Mydin tidak kena dengan situasi sekarang.
Sambil memandang serius cadangan Datuk Ameer Ali Mydin yang mahu gaji penjawat awam di negara ini dipotong berikutan krisis penularan virus Covid-19, CUEPACS melahirkan rasa kesal dan membantah pengesyoran ahli perniagaan tersebut.
Presidennya Adnan Mat berkata, CUEPACS berpandangan cadangan yang dilontarkan oleh Ameer adalah tidak wajar dan tidak kena pada masanya ketika kerajaan yang ditunjangi oleh penjawat awam sedang berusaha sehabis daya bagi mengawal penularan virus Covid-19.
“Sebagai seorang usahawan yang berjaya dan berpengaruh, CUEPACS merasakan Ameer sewajarnya bersama dengan penjawat awam ke arah usaha membantu negara menghadapi krisis penularan virus Covid-19.
“Cadangan atau kenyataan yang dibuat secara umum itu bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap penjawat awam, malah boleh melunturkan semangat penjawat awam yang ketika ini sedang bertungkus-lumus mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, krisis yang dihadapi negara pada hari ini bukanlah perkara yang diingini oleh semua rakyat termasuk yang bergelar penjawat awam.
Menurutnya, sekiranya pada hari ini rakyat berasa selesa boleh menjalani kehidupan, mudah mendapatkan bekalan untuk meneruskan kehidupan, ini bermakna penjawat awam telah menjalankan tugas mereka.
Beliau menegaskan, penjawat awam masih lagi menjalankan tugasnya seperti biasa dan mereka yang berada di frontline tetap tetang menjalakan tugas tidak kira hujan panas dan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.
“Mereka yang berada di belakang tabir seperti pembantu tadbir tetap dengan tugas membantu seperti biasa di jabatan untuk membantu frontline dan ada juga yang melaksanakan tugasan yang diberikan di rumah.
“Para guru-guru terus menjalankan tugasnya mengadakan sesi pembelajaran secara online (dalam talian) dan ini bermakna penjawat awam masih menjalankan tugasnya seperti biasa dan kerana itulah negara kita berada dalam keadaan selesa untuk mengekang pandemik Covid-19 ini.
“CUEPACS juga menyeru kepada semua semua pihak agar tidak membuat pelbagai andaian dan mempertikaikan sedikit kemudahan yang diberikan kepada penjawat awam ketika semua rakyat di negara ini diminta untuk bersatu.
“Dalam pada itu CUEPACS berharap penjawat awam terus fokus dengan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara berjaya mengekang sepenuhnya penularan virus yang telah mengubah rutin harian semua rakyat dan tetap teguh dengan mantera ‘Berkhidmat Untuk Negara’,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
Ada juga penjawat awam terpaksa buat 2 kerja seperti pemandu grab dan meniaga online,
mohon semua penjawat awam berjimat cermat dengan tidak membeli barangan keperluan di pasaraya mydin,biar padan muka melingkop,bagi cadangan tak pakai akal