KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) untuk memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik global itu.
Program tersebut memberi fleksibiliti kepada majikan yang layak memilih untuk membuat permohonan penangguhan dan penstrukturan semula caruman syer majikan bagi bulan caruman April, Mei dan atau Jun 2020.
Bayaran untuk caruman tertangguh bagi bulan yang dipilih boleh dijelaskan dalam tempoh maksimum tiga bulan.
Majikan yang berminat untuk menangguh dan menstruktur semula bayaran untuk dua atau tiga bulan juga perlu memastikan permohonan untuk bulan sebelumnya telah diluluskan sebelum membuat permohonan baharu.
Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, PKS mewakili 99 peratus daripada jumlah keseluruhan majikan yang berdaftar dengan KWSP dan menggaji seramai 7.6 juta pekerja.
Justeru, negara tidak boleh membiarkan PKS gagal untuk beroperasi dengan baik kerana situasi itu akan memberi impak yang meluas ke seluruh negara terutamanya kepada syarikat-syarikat besar yang akan menghadapi gangguan dalam rantaian bekalan dan kepada individu-individu yang mungkin akan kehilangan pekerjaan.
“Diharapkan kemudahan e-CAP akan dapat membantu PKS yang terkesan dapat menyalurkan kembali aliran tunai ke dalam perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan selama yang boleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majikan perlu memenuhi kriteria kelayakan berikut untuk memohon kemudahan e-CAP:
- Menggaji 200 orang pekerja atau kurang
- Memastikan semua bayaran caruman (syer majikan dan pekerja) setakat caruman bulan Februari 2020 (gaji bulan Januari 2020) adalah teratur
- Memastikan majikan telah menyelesaikan bayaran caruman syer pekerja sepenuhnya untuk bulan yang dimohon (April, Mei dan Jun).-MalaysiaGazette