KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihatkan orang agar tidak mudah percaya dengan tularnya satu mesej di aplikasi WhatsApp mengenai Geran Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM3,000.
LHDN dalam satu kenyataan berkata, mesej itu adalah berita palsu dan bantuan itu belum lagi diumumkan oleh Kementerian Kewangan, kelak.
“LHDNM menafikan kandungan Whatsapp yang tular. Ketetapan dan tatacara permohonan Geran Khas Prihatin akan dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia kelak.
“Orang ramai dinasihat untuk berwaspada dengan aktiviti scammers yang kian berleluasa,” kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini tersebar mesej di WhatsApp yang berkata permohonan Geran PKS RM3,000 masih dibuat kepada yang layak.
Sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memperkenal Geran Khas Prihatin bernilai RM2.1 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang layak.
Jelasnya kerajaan menyediakan geran khas RM3,000 untuk setiap PKS mikro yang dapat memanfaatkan 700,000 peniaga.
Katanya, PKS mikro perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum 1 Januari 2020. – MalaysiaGazette