Home Nasional Kerajaan beri keutamaan selesai masalah penduduk PKPD

Kerajaan beri keutamaan selesai masalah penduduk PKPD

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membuat tinjauan pengagihan stok makanan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 23 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Sejak masalah yang timbul di beberapa hari lokasi terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara, Selayang dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur menjadi isu hangat.

Malah video viral dalam laman-laman sosial orang ramai meluahkan perasan dan berkongsi penderitaan kerana terputusnya dengan dunia luar, kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan selepas PKPD dilaksanakan bagi penularan wabak Covid-19 tular di media sosial.

Bagaimanapun ada juga pihak dianggap cuba mengambil kesempatan dengan keadaan lagi-lagi cuba bermain emosi selain menyebabkan segelintir rakyat terus dilanda kebimbangan.

Namun dalam soal itu, kerajaan mahu orang ramai bersabar dan agensi-agensi terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang berusaha bertungkus-lumus menanganinya.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung isu itu, Pegawai Khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Subash Chandrabose memberitahu, pihaknya sedang bertungkus lumus menyelesaikan isu dengan memberi keutamaan penuh kepada rakyat.

Pegawai khas Menteri Wilayah Persekutuan, Subash Chandrabose berbual bersama penduduk, Mohamad Azhar Arif susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2020.

“Sebenarnya bukan kami sebaliknya Menteri, Tan Sri Annuar Musa sendiri telah memberikan fokus paling utamanya dalam menangani isu-isu yang sedang di hadapi oleh penduduk di Pusat Bandar Utara ini khasnya masyarakat setempat.

“Kawasan ini baru sahaja beberapa hari lepas diwartakan sebagai lokasi PKPD, kami sememangnya memerlukan masa untuk melakukan persediaan bersama-sama agensi lain dengan memberikan 100 peratus keutamaan serta fokus kepada penduduk sini.

“Itulah kebenarannya, bekalan makanan yang sampai semalam sebenarnya dari orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mulai hari ini kita di Kementerian akan melakukan kordinasi bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi lain bagi memastikan bekalan mencukupi sampai kepada penduduk ini.

“Bekalan makanan lain juga akan disediakan, bagi kami keselamatan itu menjadi fokus utama terdahulu, notis pemberitahuan PKPD tidak boleh dibuat dengan begitu awal kerana tidak mahu khasnya warganegara asing ‘melarikan’ diri lagi-lagi jika mempunyai jangkitan atau simptom Covid-19.

“Kita memang sudah ada kes ada warganegara sudah melarikan dan sebagainya, bagi elakkan perkara seumpama itu, pasukan keselamatan terpaksa melakukan ‘lockdown’ dalam kadar cepat dan tanpa sebarang notis.

“Namun sejak hari itu, kami sememangnya sedang bertungkus lumus melakukan kordinasi, mengenalpasti keperluan dan banyak lagi perkara lain termasuk proses saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selepas ini, semua isu-isu khasnya berkaitan bekalan makanan serta perubatan dan yang lain-lain kita dapat selesaikan, jangan risau kami tidak akan sesekali abaikan anda, kebajikan anda keutamaan kami,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Gelagat penduduk semasa menjalani saringan kesihatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2020.

Kata Subash, Annuar yang telah melakukan inisiatif menubuhkan sebuah jawatankuasa Crisis Management Centre (CMC) sentiasa bermesyuarat dan memantau segala apa yang berlaku bersama-sama agensi lain termasuk seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM, JKM, APM dan juga RELA.

“Usah risau, jangan termakan dengan kata-kata pihak lain, kami sedang sedaya upaya selesaikan semua isu, tidak ada yang akan terabai, jangan risau,” ujarnya lagi.

Terbaharu, petang tadi, Annuar memberi jaminan kerajaan telah menyediakan keperluan harian dalam bentuk bekalan mentah yang mencukupi kepada semua warga tempatan yang tinggal di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Beliau memberi jaminan tidak ada seorang pun yang akan terputus bekalan yang akan mula diserahkan hari ini dan esok.

Katanya, ia akan diberi cukup untuk tempoh 14 hari dengan dua kali hantaran dan agihan dikendalikan JKM dengan dibantu Angkatan Pertahanan Awam dan agensi lain.

Sebahagian stok makanan untuk diagihkan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 23 APRIL 2020.

“Kita akan perbaiki agihan ini dan mereka yang masuk ke garisan kuning juga mesti memakai pakaian perlindungan diri (PPE),” katanya selepas melawat pusat agihan makanan hari ini. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Arahan PKPD memang baik tapi kami tak sempat bersedia’