BEIJING – Penyerang antarabangsa Argentina, Carlos Tevez hari ini secara rasmi menjadi pemain kelab Shanghai Shenhua FC.
Kelab dari China itu dalam satu kenyataan mengumumkan mereka telah mencapai kesepakatan bersama Boca Juniors berhubung perpindahan Tevez.
Kedua-dua kelab itu juga telah mengesahkan penghijrahan pemain berusia 32 tahun itu.
Tevez yang juga bekas pemain Manchester City kini hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum muncul di atas padang dengan rakan-rakan baharunya.
“Shanghai Shenhua FC dan Boca Juniors secara rasmi telah mencapai kesepakatan berhubung perpindahan Carlos Alberto Tevez,” kata kenyataan itu.
Penyertaan Tevez itu telah menyaksikan kemunculan semula singkatnya bersama Boca pada tahun lalu dan dia memenangi dua trofi bersama pasukan itu pada musim lalu.
“Kami setiasa menghormati kemahuan pemain untuk meneruskan karier bola sepaknya di China.
“Semoga berjaya, Carlitos. Kamu akan sentiasa di hati kami,” tulis Boca dalam kenyataan rasminya berhubung perpindahan Tevez.
Dengan penghijrahan ini, Tevez dikatakan menjadi pemain bola sepak yang mendapat bayaran tertinggi di dunia.
Difahamkan, dia akan mendapat gaji £650 ribu seminggu di bawah kontrak selama dua tahun.
Di Shanghai Shenhua, Tevez akan bergabung dengan nama-nama seperti bekas penyerang Chelsea, Demba Ba dan bekas pemain Inter Milan, Obafemi Martins dalam pasukan yang dilatih oleh bekas pengurus Sunderland, Gus Poyet.- DailyMail