Home Nasional Sindiket seludup dadah guna kurier tumpas

Sindiket seludup dadah guna kurier tumpas

ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah yang cuba diseludup menggunakan kurier ke sabah dan sarawak hasil kejayaan Narkotik PJ dalam sidang media petang hari ini. Foto Kredit: LK Raj

PETALING JAYA – Setinggi-tinggi tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga!

Taktik licik sindiket yang menyeludup dadah menggunakan khidmat kurier terkemuka antarabangsa ke Semenanjung Sabah dan Sarawak akhirnya terbongkar dan ditumpaskan polis.

Bertindak atas maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, sindiket itu yang dianggotai tiga individu termasuk seorang wanita berjaya dicekup.

Manakala dadah syabu seberat sembilan kilogram dianggarkan bernilai RM181,790 dirampas dalam empat serbuan berasingan oleh polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,  Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pada 23 April lalu sekitar jam 3.20 petang, pasukan JSJN telah melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat kurier terkemuka antarabangsa yang terletak di Jalan Tandang di sini.

Hasil pemeriksaan dan maklumat yang diperoleh di syarikat kurier itu, polis telah membuat serbuan sebuah rumah di Sungai Way sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan sekitar jam 10 malam.

“Manakala dalam serbuan ketiga sejam kemudian iaitu sekitar jam 11 malam, polis juga menahan seorang lagi suspek seorang wanita warganegara Vietnam di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Seterusnya dalam serbuan keempat pada Jumaat 24 April sekitar jam 4 pagi polis berjaya memberkas seorang lagi suspek lelaki warga tempatan di kawasan Taman Klang Utama.

“Semasa tangkapan di Sungai Way, polis berjaya merampas satu bungkusan plastik lutsinar berisi dadah ketamin satu kilogram dan 800 biji pil Eramin 5 seberat 220 gram yang disyaki disembunyikan dalam pembesar suara kereta yang telah diubahsuai untuk kegunaan pengedaran,” katanya dalam sidang media hari ini.

ACP Nik Ezanee Mohd Faisal Bahagian pembesar suara dalam bonet kereta yang diubahsuai tiga anggota sindiket seludup dadah ke Sabah Sarawak ditumpaskan JSJN PJ semalam. Foto Kredit: LK Raj.

Tambah Nik Ezanee, dalam tangkapan keduanya, polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 300 gram ketamin dalam enam bungkusan plastik lutsinar, pil Eramin 5 (500 biji), ekstasi (340 biji) dan kapsul disyaki berisi serbuk ekstasi (100 biji).

Justeru katanya, polis turut merampas 277 paket plastik ala serbuk minuman pelbagai label disyaki mengandungi dadah termasuk syabu iaitu Joker, Jus Tang Orange, Jus Crispy Fruit Guana, Jus Superman,Tang Pine Apple dan teh tarik Pra Campuran Sao Qian dengan keseluruhan seberat enam kilogram daripada wanita Vietnam itu di Bukit Jalil.

Dalam pada itu, katanya, dalam serbuan ketiga melibtkan tangkapan lelaki di Klang pula berjaya dirampas enam paket plastik lutsinar berisi serbuk bahan disyaki syabu seberat 300 gram.

“Hasil analisa mendedahkan dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada lebih 5,217 orang penagih dan kita berjaya menyita mata wang ringgit berjumlah RM320,000.00, dolar Amerika berjumlah USD$287, mata wang Kemboja 1, 300 dipercayai hasil jualan dadah selain satu bar emas berbentuk empat segi warna kuning seberat lima gram serta barang kemas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM335,189.

“Mereka direman bermula hari ini sehingga 30 Apri ini bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

“Siasatan dan risikan pasukan narkotik masih diteruskan untuk mengesan sindiket lain yang masih aktif dan bebas di daerah ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette