PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia untuk terus bekerjasama dengan pasukan pakar perunding perubatan China melakukan penyelidikan dalam mencari vaksin merawat pesakit Covid-19 di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini perbincangan mengenai perkara itu berjalan dengan lancar.
Katanya, ia kini sedang memasuki fasa kedua penyelidikan klinikal dan keputusan sama ada vaksin berkenaan berkesan atau sebaliknya akan diperoleh antara November atau Disember ini.
“Kita tidak mempunyai pengalaman (untuk melawan Covid-19) sama juga seperti di negara lain kerana ia merupakan virus baharu tetapi disebabkan mereka (China) dua bulan lebih awal diserang wabak ini, kita dapat berkongsi pengalaman dan melihat pelan tindakan strategik yang boleh diambil.
“Selain itu kami turut membincangkan mengenai penggunaan ubatan, seperti apa ubat yang digunakan untuk merawat pesakit, impak serta kesan sampingannya. Ini adalah virus baharu dan banyak negara masih kurang berpengalaman dari segi mengendalikannya,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM hari ini.
Noor Hisham berkata, jika fasa kedua penyelidikan vaksin terbabit dilihat menunjukkan keputusan yang memberangsangkan, KKM bersedia untuk bekerjasama pada fasa ketiga penyelidikan. – MalaysiaGazette