Home Dunia 18 kru kapal USS Kidd didapati positif COVID-19

18 kru kapal USS Kidd didapati positif COVID-19

WASHINGTON – Sekurang-kurangnya 18 anggota di atas kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) didapati positif COVID-19, mencetuskan penularan wabak kedua membabitkan kapal tentera AS, lapor agensi berita Xinhua, memetik media tempatan.

Pentagon berkata, kes tambahan dijangka berlaku di USS Kidd, kapal pemusnah yang menjalankan misi narkotik dekat perairan Amerika Selatan.

Kapal berkenaan sedang bersiap sedia untuk belayar ke pelabuhan bagi membolehkan sebahagian kru diturunkan dan kerja-kerja pembersihan dijalankan sebelum belayar semula, kata jurucakap Pentagon Jonathan Hoffman pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat mengenai punca jangkitan.

USS Kidd, kapal Tentera Laut AS kedua yang dipaksa berlabuh ke pelabuhan, sebelum ini anggota tentera di kapal USS Theodore Roosevelt turut dijangkiti COVID-19.

Kapal USS Theodore Roosevelt yang beroperasi di Pasifik terpaksa berlabuh di Guam pada akhir Mac disebabkan wabak itu.

Media tempatan melaporkan, awal minggu ini 26 kru kapal perang dijangkiti COVID-19, tetapi kebanyakannya berada di pelabuhan. – Bernama