Home Politik Kenyataan pakaian comot disalahtafsir, hanya melawak – Tengku Adnan

Kenyataan pakaian comot disalahtafsir, hanya melawak – Tengku Adnan

Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan bahawa kenyataannya berhubung gesaan supaya wanita berpakaian comot disalahtafsir oleh orang ramai sehingga menjadi bahan serangan pengguna media sosial.

Tengku Adnan berkata, beliau mengenali individu yang mengajukan soalan tersebut semasa dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) semalam dan menegaskan menjawab pertanyaan itu secara berseloroh tetapi malangnya pengguna media sosial berfikiran sebaliknya.

“Masa hari itu semasa sesi TN50, saya cukup ‘hot’ kerana yang tanya soalan itu saya kenal, seorang anak Puteri UMNO di Setiawangsa berkenaan keselamatan

“Saya jawab berseloroh kerana saya kenal (yang tanya soalan), saya jawab kalau takut sangat saya kata pakai lah pakaian yang comot-comot sikit.

You don’t attract people to you, jokingly (melawak) tapi netizen bantai saya kata macam-macam kepada saya,” kata Tengku Adnan semasa perasmian Wacana Pemikiran Anak Muda Masa Depan Negara di Kompleks Darul Puteri hari ini.

Tengku Adnan menyifatkan pembangkang iri hati dengan caranya mentadbir Wilayah Persekutuan sehinggakan isu tersebut sengaja diperbesarkan.

“Saya tahu pembangkang sekarang berasa gusar kerana saya mentadbir wilayah ini berbeza dengan kawan-kawan saya terdahulu kerana saya praktikkan apa yang saya nak buat

“Nak bantu rakyat, saya bantu rakyat,” jelasnya di hadapan kira-kira 200 orang peserta wacana anjuran Pertubuhan Nadi Rakyat itu.

Terdahulu, Tengku Adnan menasihati golongan muda supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang membawa pemikiran politik songsang.

“Oleh itu, anak muda menjadi kelompok utama para pembangkang sebagai sasaran politik untuk menjadi songsang pemikirannya daripada politik arus perdana dengan pelbagai kaedah.

“Aptah lagi kelompok sasaran ini yang dikenali dengan Gen Y, Gen X dan Z ini adalah kelompok sasar yang boleh dipengaruhi tanpa mengadakan pertemuan bersemuka, sebaliknya cukup dengan melontarkan dakyah dan fitnah di sebalik keyboard sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette