KUALA LUMPUR- Terdapat keperluan untuk mengkaji undang-undang sedia ada terutama bagi memperluaskan liputan pekerjaan dan perlindungan di bawah Sistem Insurans Pekerja (SIP) untuk kumpulan yang terkesan dalam masyarakat.
Antara sektor yang terlibat adalah individu bekerja sendiri dalam sektor tidak formal.
Pertubuhan Keselamatan Pekerja Sosial (Perkeso) berkata, ini bagi memberikan fleksibiliti untuk melaksanakan pelbagai program pasaran buruh aktif yang mampu menangani perubahan pekerjaan dan keperluan kemahiran serta bersedia menghadapi kejutan pada masa depan.
“Dalam merangka inisiatif pasca-COVID-19, agensi-agensi berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia kini sedang bersedia dengan pelbagai program dan strategi untuk menangani masalah pengangguran jangka menengah dan jangka panjang terutamanya dalam membantu pekerja yang terjejas dan penganggur untuk mendapat pekerjaan.
“Kementerian Sumber Manusia kini sedang mentransformasi dan mengukuhkan Perkhidmatan Pekerjaan Awam Malaysia, memperkenalkan pelbagai dasar dan program pasaran buruh aktif, menggalakkan pertumbuhan pekerjaan, dan memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran dan kompetensi terkini untuk memenuhi perubahan pesat dalam lanskap pasaran buruh dan masa depan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga 22 April 2020, SIP menerima 205,342 permohonan untuk PSU daripada majikan dan ini menstabilkan pekerjaan bagi 1.67 juta pekerja. Pada masa yang sama, lebih daripada 25,411 majikan memohon ERP, meliputi 208,907 pekerja yang mendapat notis cuti tanpa gaji.
Walaupun terdapat kenaikan dalam bilangan tuntutan faedah SIP, jumlah pekerja yang hilang pekerjaan masih terkawal di mana angka kehilangan pekerjaan masih di bawah 6,000 sebulan.- MalaysiaGazette