Home Nasional Ebit Lew jangan putus asa, orang buat baik sentiasa diuji – Jamal

Ebit Lew jangan putus asa, orang buat baik sentiasa diuji – Jamal

Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew dinasihatkan agar tidak berputus asa mahupun berasa rendah diri apabila khidmatnya membantu golongan yang tidak berkemampuan dihalang pihak tertentu yang tidak senang dengan tindakannya.

Ebit Lew boleh menjadikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai contoh senasib yang diuji dan dihalang memberikan makanan secara percuma kepada warga Wilayah Persekutuan tidak lama dahulu.

Bukan sahaja dihalang, bahkan Restoran Makanan Percuma Gabungan NGO 1Malaysia milik Jamal itu dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Janganlah berputus asa atau merendah diri atau kecewa dek kerana usaha membantu golongan tidak berkemampuan dihalang oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik.

“Teruskan membuat kerja-kerja kebajikan kerana masih ramai di luar sana terabai kebajikannya dan tidak mendapat perhatian seorang pemimpin politik dari utara. Orang buat kerja amal selalu diuji, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

“Ebit Lew hanya mangsa keadaan dan kemarahan seorang ahli politik kerana masuk ke kawasan dan tercabar dengan perkhidmatan kebajikan yang diabaikan pemimpin berkenaan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, Ebit Lew mengesahkan bahawa khidmatnya bagi membantu orang tidak berkemampuan tidak lagi akan dilakukan secara langsung.

Ebit Lew berkata, pendirian itu diambil selepas dipanggil ke Bukit Aman semalam, bagi memberi keterangan berhubung laporan beberapa pihak yang mempertikaikan khidmat bantuannya yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, Jamal menyatakan kesediaannya dan sanggup bekerjasama membantu Ebit Lew dalam meneruskan kerja-kerja amal untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan ketika umat Islam menyambut ibadat puasa ketika ini.

“Ebit Lew, usah bersedih, teruskan kerja-kerja kebajikan ini, malah saya sendiri menawarkan bantuan kepada Ustaz meneruskan pengagihan bantuan kemanusiaan ini.

“Jangan pedulikan tekanan politik sempit, masih ramai rakyat di bawah sana daif, serba kekurangan, malah ada yang terputus bekalan makanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Jamal antara pemimpin NGO yang turut dihalang meneruskan program makanan percuma kepada masyarakat berbilang kaum dan usaha itu telah dimulakan beliau sejak 16 Oktober 2017 di Jalan Pahang, di sini.

Selain itu, Jamal juga sebelum ini menambah cawangan konsep restoran makanan percuma itu iaitu di Sekinchan dan Sabak Bernam pada 25 Oktober 2017.

Untuk rekod, setiap hari, Restoran Makan Percuma NGO 1Malaysia mampu mengedarkan makanan siap dimasak kepada 3,000 penduduk di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kekerapan sebanyak tiga kali sehari. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.