SEPANG – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan bertemu pihak pengurusan Shell pada Isnin berhubung laporan pengguna dikenakan caj RM4.09 bagi seliter petrol di Pulau Pinang malam tadi.
Beliau berkata, pertemuan akan diadakan di kementerian bagi membolehkan Shell mengemukakan surat tunjuk sebab dan membuktikan masalah teknikal yang didakwa punca perkara itu berlaku.
Kementerian juga akan mengadakan siasatan sendiri bagi menentukan ia berpunca daripada masalah teknikal atau sengaja dilakukan.
“Walaupun Shell mengaku ia adalah masalah teknikal dan meminta maaf, saya masih mahu mereka datang dan membuktikan ia adalah masalah teknikal. Kesilapan adalah kesilapan.
“Kita tidak menerima banyak aduan, namun satu aduan sudah cukup bagi kita untuk menyiasat,” katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas perkara tersebut.
Ditanya bagaimana wang pengguna akan dipulangkan, Hamzah berkata, pihak pengurusan Shell berjanji akan memulangkan wangnya.
Posting Facebook telah menyiarkan bahawa seorang pelanggan yang mengisi keretanya dengan RON95 selepas tengah malam di sebuah stesen minyak di Pulau Pinang dikenakan caj RM4.09 seliter dan bukannya RM2.08, dengan turut memuatkan gambar resit bayaran itu.
Pada Rabu, harga minyak petrol RON97 dan RON95 naik 7 sen sementara diesel 4 sen yang menyaksikan harga RON95 ialah RM2.08 seliter, RON97 pada RM2.36 seliter dan diesel RM1.99 seliter. – Bernama