Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
KECOH di seluruh negara apabila pendakwah bebas yang cukup popular, Ebit Liew dilaporkan dipanggil oleh Cawangan Khas Bukit Aman kerana ada laporan dari pihak yang kurang senang dengan tindakannya memaparkan aktiviti kebajikan yang dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam media sosial dan media massa.
Akibatnya majoriti anggota masyarakat terutamanya dalam media sosial marah dengan tindakan pihak yang membuat laporan tersebut. Rata-rata kecam dan tidak berpuas hati kerana mempertikai aktivti kebajikan yang dilakukan oleh beliau.
Umum mengetahui keikhlasan dan kemurahan hati pendakwah bebas yang dikenali sebagai Ustaz Ebit Liew yang sering membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan yang memerlukan pelbagai bantuan.
Beliau bergerak sendiri dan menggunakan duitnya sendiri untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Jadi tindakan melaporkan kepada pihak polis amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku.
Jujurnya kita percaya Ustaz Ebit Liew cukup ikhlas dalam menghulurkan bantuan dan tidak pernah berniat untuk mencari populariti murahan atau menunjuk-nunjuk segala pemberian dan pertolongannya. Harus diingat beliau juga bukan ahli politik mahupun golongan artis, sebaliknya hanya seorang pendakwah bebas yang ingin berkongsi rezeki dan bersimpati dengan nasib malang yang menimpa sebahagian daripada anggota masyarakat kita.
Malah jika kita meneliti modus operandi beliau selama ini, sumbangan dan bantuan yang dihulurkan juga tidak pernah memilih agama dan bangsa. Semua lapisan anggota masyarakat disantuni dengan penuh jujur, ikhlas dan berhemah.
Malah tingkah laku dan budi pekerti beliau yang sentiasa lemah lembut dan menghormati orang cukup dikagumi khalayak. Jadi tidak timbul soal beliau ingin memaparkan kegiatan memberikan bantuan untuk mencari populariti atau jauh sekali untuk mengaibkan penerima bantuan tersebut.
Penulis yakin dan percaya antara lain tujuan berkongsi segala aktiviti beliau kepada umum melalui pelbagai media adalah untuk mencetuskan kesedaran dan keinsafan dalam kalangan anggota masyarakat lain yang lebih bernaib baik supaya sama-sama membantu mereka yang susah.
Kita percaya Ustaz Ebit Liew telahpun berjaya mencetuskan gelombang kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat betapa masih ramai yang lebih susah dari kita dan memerlukan pelbagai bantuan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka. Kita yang sering merungut kerana ditimpa pelbagai dugaan dan musibah boleh insaf apabila mengetahui masih ramai yang lebih susah dan malang dari kita.
Jadi penulis juga bersama-sama dengan majoriti anggota masyarakat yang lain ingin menzahirkan rasa geram, marah dan tidak berpuas hati kepada pihak yang membuat laporan ini.
Kita sepatutnya bersyukur kerana adanya insan mulia seperti Ustaz Ebit Liew yang sanggup mengeluarkan duit poketnya sendiri dan menyantuni anggota masyarakat yang memerlukan bantuan. Maka, jika kita tidak dapat membantu seperti beliau sekali pun, janglah pula menganggu beliau dari melakukannya.
Sepatutnya kita berdoa agar Ustaz Ebit Liew akan terus konsisten dalam aktiviti kebajikan ini, di samping berharap beliau akan menjadi suri teladan kepada orang lain supaya turut tampil menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
Ironinya kita masih memerlukan lebih ramai lagi dermawan seperti Ustaz Ebit Liew kerana bilangan orang miskin dan gelandangan yang memerlukan bantuan masih ramai. Malah inisiatif individu seperti ini sudah semestinya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membantu golongan yang miskin dan susah. Tuntasnya, kita perlu melahirkan lebih ramai lagi dermawan seperti Ustaz Ebit Liew.
Justeru kita berharap Ustaz Ebit Liew tidak cepat berputus asa dan kecewa dengan tindakan seorang dua individu yang tidak berhati perut dan mempunyai agenda tersendiri. Teruskanlah usaha murni dengan membantu lebih ramai lagi yang memerlukan pertolongan.
Kita juga lega apabila pihak polis memberi kebenaran kepada Ustaz Ebit Liew untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan sepanjang tempoh PKP. Kepada Ustaz Ebit Liew, anggaplah ini sebagai ujian tatkala kita ikhlas menghulurkan bantuan dan jangan risau jauhari sememangnya mengenal manikam.
Dia ni suka mendapatkan publisiti…sampai lebih sudu dari kuah. Itu masaalah nya
Ikhlas tu ikhlas lah…tapi jangan sampai ketara sangat sifat nak menjual diri melalui publisiti sedemikian.