Home Politik Kenapa bantuan Skim Bakul Makanan RM100 lewat diagihkan?

Kenapa bantuan Skim Bakul Makanan RM100 lewat diagihkan?

Ali Tinju

KUALA LUMPUR – Kenapa melewat-lewatkan pemberian bantuan termasuk Skim Bakul Makanan RM100 sehingga ia menjejaskan persepsi rakyat terhadap komitmen Perdana Menteri (PM) yang mahu membantu mereka yang terkesan kerana Covid-19 di negara ini?

Itu persoalan Presiden NGO No.1 Negara (Media Tentera Rakyat), Datuk Mohd. Ali Baharom kepada pemimpin termasuk menteri yang padanya perlu komited melaksanakan arahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jangan sesekali mempolitikkan bantuan kepada rakyat.

“Berdasarkan maklum balas daripada akar umbi, saya menerima banyak rungutan di seluruh negara mengenai bantuan yang lambat melalui dalam Facebook Mohd Ali Haji Baharom diterima termasuk program Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) melibatkan isu Skim Bakul Makanan RM100,” ujarnya yang dikenali Ali Tinju dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak difahamkan, program yang sepatutnya bermula 18 Mac lalu namun sampai sekarang banyak kawasan dan orang yang memerlukan belum menerimanya.

“Rakyat mahu PM hantar pegawai-pegawainya menjalankan siasatan di setiap daerah dan siasat kenapa Skim Bakul Makanan RM100 masih ramai yang terlepas menerima bantuan. Bukankah pusingan pertama bantuan itu bermula 18 hingga 31 Mac? Mana hak rakyat?” soalnya.

Dalam pada itu, Ali Tinju juga mempertikaikan kenapa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun sendiri lewat menyampaikan bantuan Skim Bakul Makanan RM100 kepada penerima di kawasannya sendiri iaitu di Parlimen Sepang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyampaikan bantuan kepada anak yatim di Sepang pada 23 April lalu dikritik soal pengagihan Bakul Makanan RM100 JKM.-FB Mohd Ali Baharom.

“Perkara sedemikian membuatkan rakyat marah dan kemarahan mereka ditujukan kepada PM, kita tidak mahu kerana sikap tidak profesional sesetengah pemimpin, PM terpaksa menerima kesannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pihak yang terlibat juga sepatutnya memastikan bantuan yang diberi secara menyeluruh dan jangan bergantung sepenuhnya jawatankuasa politik di kawasan masing-masing kerana bimbang ia disalahguna.

Senarai penerima mesti disahkan oleh JKM bagi memastikan ia sampai terus kepada golongan yang memerlukan.

Sebelum itu, beberapa wakil rakyat pembangkang juga mengkritik Rina dalam isu Skim Bakul Makanan RM100 yang didakwa mereka tidak diterima secara menyeluruh terutama kepada mereka yang terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini.

Menurut Ali Tinju, sekiranya masalah bekalan menjadi penghalang, setiap menteri dan ahli politik perlu ‘berkorban’ termasuk menggunakan peruntukan peribadi bagi membantu rakyat terutama di kawasan masing-masing.

Sementara itu, kata Ali Tinju, mana-mana rakyat atau bekas Angkatan Tentera Melayu yang terlepas pandang daripada menerima mana-mana bantuan kerajaan boleh memohon melalui FB Mohd Ali Haji Baharom dan pihaknya akan berusaha mendapatkannya melalui saluran peribadi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bila ada orang beri ambil je lah dan bersyukur jangan banyak songer tu rezeki namanya lambat sikit tu biasalah mungkin pengangkutan ada masalah sikit . beri susah tak beri susah.Jangan jadi seperti anjing dilarang menjelir tak larang pun menjelir.

Comments are closed.