Home Dunia Itali benarkan perniagaan beroperasi 4 Mei ini

Itali benarkan perniagaan beroperasi 4 Mei ini

Giuseppe Conte. foto Agensi

MILAN – Itali akan membenarkan kilang dan tapak projek pembinaan dibuka semula mulai 4 Mei sebelum membenarkan lebih banyak perniagaan dibuka pada minggu-minggu berikutnya.

Perdana Menteri Giuseppe Conte memaklumkan negara itu sedang bersiap-sedia untuk membuka semula sekatan perjalanan selepas melakukan sekatan yang panjang dalam kalangan negara-negara Eropah bagi membendung Covid-19.

Itali melaksanakan kuarantin dan sekatan perjalanan pada 9 Mac lalu selepas Milan dikesan mengalami kes jangkitan koronavirus yang pertama.

Conte berkata, Itali akan berusaha untuk memulakan aktiviti ekonomi tanpa berkompromi dengan gelombang kedua wabak tersebut.

“Kami menjangkakan cabaran yang sangat kompleks.

“Kita akan hidup dengan virus dan kita harus mengambil setiap langkah pencegahan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut beliau, pengilang-pengilang, syarikat pembinaan dan beberapa pemborong akan dibenarkan beroperasi semula mulai 4 Mei ini, diikuti oleh peruncit dua minggu kemudian, sementara restoran dan bar dibenarkan dibuka sepenuhnya dari awal bulan Jun.

Bagaimanapun, perniagaan ‘pandu lalu’ dijangka boleh beroperasi lebih awal dari tarikh tersebut. – MalaysiaGazette