KUALA LUMPUR – Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam membendung pembuangan bayi serta melaksanakan hukuman berat ke atas pelaku namun masih terdapat individu yang masih berani melakukan perbuatan itu.
Terbaharu mayat bayi bertali pusat di dalam sebuah beg kertas ditemui orang awam di tepi di Seksyen 6, Wangsa Maju, di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis menerima panggilan telefon dari orang awam yang terjumpa bungkusan bag kertas berwarna oren dengan bayi yang dibalut kain berwarna coklat kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Katanya, sepasukan polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah digerakkan ke lokasi bersama bantuan perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Hasil siasatan awal pegawai perubatan HKL mengesahkan bayi perempuan tersebut dalam keadaan cukup sifat ketika ditemui telah meninggal dunia.
“Siasatan lanjut polis mendapati, bayi malang itu disyaki baru saja dilahirkan kerana masih ada cebisan tali pusat pada badan bayi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Rajab, mayat bayi tersebut telah dibawa ke Unit Forensik HKL untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, pada jam 9.30 pagi seorang saksi awam yang dalam perjalanan pulang ke rumah menyatakan kemunculan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam di seberang jalan.
“Suspek perempuan itu kemudian dilihat telah meletakkan beg kertas tersebut di tepi jalan dan terus beredar ke arah yang tidak pasti dan saksi tidak dapat mengecam muka kedua saspek terlibat.
“Satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Polis Wangsa Maju meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supertintendan Stephen Ganeson di talian 016–3767390 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584/585 atau mana mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette