Home Nasional UPM lonjak ke kedudukan antara 101-200 terbaik dunia

UPM lonjak ke kedudukan antara 101-200 terbaik dunia

Prof Dr. Aini Ideris

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan rekod cemerlang dalam penarafan antarabangsa apabila berjaya melonjakkan kedudukannya dalam kelompok antara 101 hingga 200 universiti terbaik dunia.

Pencapaian dalam Times Higher Education (THE) University Impact Rankings 2020 itu dilihat lebih baik berbanding kedudukan antara 201 hingga 300 dunia yang diperolehinya pada tahun lepas.

Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, ia adalah pencapaian yang membanggakan dalam ranking yang menyenaraikan lebih dari 750 institusi pengajian tinggi dari 85 buah negara.

“Penarafan THE Impact Rankings ini adalah membabitkan penilaian pencapaian universiti global terhadap 17 matlamat Sustainable Development Goals (SDGs) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

“Ianya dinilai berdasarkan pencapaian terbaik dalam empat (4) SDG dengan SDG 17 sebagai kategori mandatori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain pencapaian keseluruhan, tambah beliau, UPM juga berjaya menduduki tangga ke-19 dunia bagi SDG 4 (Quality Education), tangga ke-96 dunia bagi SDG 11 (Sustainable Cities and Communities), tangga ke-98 dunia bagi SDG 17 (Partnership for the Goals) dan tangga ke-201-300 bagi SDG 3 (Good Health and Wellbeing).

Katanya, pencapaian UPM dalam pengiktirafan global itu adalah hasil komitmen dan kesungguhan yang tinggi warga UPM dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan lestari dalam kampus serta sokongan berterusan semua lapisan warga kampus dalam mengadaptasikan budaya kecemerlangan, kemampanan dan integriti di UPM.

“Pencapaian ini juga dilihat cukup konsisten dengan rekod cemerlang UPM dalam pelbagai penarafan antarabangsa selama ini di samping memenuhi visi untuk menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.

“Malah kejayaan ini juga bakal menjadi penanda aras yang penting dan signifikan dalam UPM merangka Pelan Strategik yang baharu bagi tempoh 2021-2025.

“Keputusan yang dikeluarkan pada 22 April 2020 itu menyaksikan universiti dari New Zealand, Australia, Amerika dan Eropah mendominasi 10 kedudukan teratas dunia,” katanya.-MalaysiaGazette