KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mei ini ditangguhkan.
Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), satu tarikh baharu akan diumumkan kelak.
“Kementerian Belia dan Sukan memahami bahawa situasi semasa amat sukar dan mencabar bagi masyarakat umum khususnya golongan belia.
“Sehubungan dengan itu, sejajar dengan sentimen dan situasi semasa, sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan pada 15 Mei 2020 adalah ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Ketetapan tarikh baharu akan berdasarkan situasi wabak Covid-19 pada masa tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Menurut KBS, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Badan Gabungan Induk Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah yang bernaung di bawah MBM.
“Dalam hal ini, keselamatan dan kesihatan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan belia menjadi kepentingan yang paling utama kepada Kerajaan,” menurut kenyataan itu.-MalaysiaGazette