KUALA LUMPUR – Zuraida Kamaruddin yang sedang menghadapi kontroversi kekayaan luar biasa melibatkan pembantunya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Wanita PKR hari ini dan jawatannya akan dipangku timbalannya.
Ahli Parlimen Ampang itu membuat pengumuman semasa ucapan polisi pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR dan menyerahkan jawatannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha sebagai penggantinya.
“Masanya sudah tiba saya menyerahkan tugas perjuangan saya dalam memperjuangkan hak wanita kepada timbalan, Haniza Talha,” katanya semasa berucapdi Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Sivik Petaling Jaya (MBPJ).
Peletakan jawatan Zuraida itu diumumkan pada ketika pembantunya, Adam Rosly Abdullah yang didakwa terlibat dalam kes salahguna kuasa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Adam Rosly ditahan SPRM dalam siasatan ke atas kekayaan miliknya dan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Beliau ditahan pada 13 April lepas bagi memberi keterangan berhubung kekayaan “luar biasa” miliknya.
Adam Rosly, yang juga ketua pemuda PKR Ampang, didakwa memberi dua kenyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM berhubung dakwaan kekayaan luar biasa beliau.
Zuraida sebelum ini menafikan Adam Rosly adalah pembantunya.
Dalam sidang media selepas ucapannya, Zuraida menafikan keputusannya itu ada kaitan dengan Adam Rosly dan menjelaskan Haniza sebagai individu paling layak untuk menggantikan tempat beliau.
“Ni last term (penggal akhir) saya, saya tak akan bertanding dalam Ketua wanita lagi kerana saya dalam proses menyerahkan kepada timbalan wanita PKR Haniza Talha.
“Saya tahu Haniza cukup memahami wanita keadilan, saya rasa dia paling cocok dengan agenda wanita dan saya rasa dah tiba masanya nak bagi laluan kepada yang muda.
“Sudah tentu tidak ada kaitan (dengan Adam Rosly),” katanya. – MalaysiaGazette