KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini tampil menafikan ada mengedarkan sebarang dokumen mengenai ‘Panduan Sambutan Aidilfitri’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penafian itu dimuatnaik dalam Facebook rasmi JAKIM, hari ini.
“Sebarang makluman yang tidak dikeluarkan melalui saluran rasmi JAKIM adalah dianggap tidak sah,” gesa JAKIM.
Semalam tular bahawa JAKIM ada mengeluarkan dokumen tiga peringkat yang dinamakan Panduan sambutan Aidilfitri PKP.
Dalam sebaran itu, garis panduan ini disediakan bertujuan untuk memberi
penerangan kepada masyarakat awam khususnya Umat Islam mengenai kaedah Sambutan Hari Raya Ketika PKP Covid-19.
Antara gesaan itu adalah Solat Sunat Hari Raya di rumah bersama ahli keluarga dan boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah.
Ahli keluarga yang dikuarantin di rumah tidak dibenarkan turut serta dan pesakit dan petugas di Hospital dibenarkan mengikut peraturan KKM.
Takbir di masjid atau surau oleh Imam, Bilal dan Siak atau rakaman, umat Islam igalakkan takbir Hari Raya di rumah, takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan, pengendali stesen penyiaran disarankan untuk menyiarkan rakaman takbir hari raya yang sedia ada dengan meletakkan kapsyen “Rakaman ini telah dibuat sebelum tempoh PKP”.
Sebaran itu turut berkata JAKIM tidak membenarkan sebarang aktiviti rumah terbuka Aidilfitri dibuat bagi mengelakkan penularan
wabak penyakit.
Malah amalan ziarah menziarahi untuk bersilatulrahim diganti dengan berhubung menggunakan alat komunikasi dan media sosial sebagai pengganti diri. -MalaysiaGazette