PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menyeru kerajaan melaksanakan dengan segera salah satu bab Rancangan Malaysia ke-11 mengenai penutupan agensi tindih tugas dan pegawai yang tidak kompeten (incompetent). Kami telah mengemukakan masalah ini berkali-kali dan ia selalu akan di selindung oleh agensi-agensi yang berkenaan dan ketua setiausaha atau menteri masing-masing. Di sektor air, tenaga dan alam sekitar ada beberapa agensi yang dapat di tutup serta-merta dan tidak akan mempengaruhi operasi kerajaan. Pada masa ini, kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat untuk mengatasi kesan ekonomi akibat Covid-19.
Agensi-agensi ini juga menyulitkan kerja penguatkuasaan yang dilakukan oleh pengawal selia yang bertanggungjawab terhadap sektor air dan tenaga. Terdapat kes-kes di mana peruntukan projek yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang bertindih tugas ini tidak berjaya dan ada yang dibangunkan tanpa bukti statistik atau faedah kos yang tepat. Keadaan ini akan menyebabkan pembaziran wang pembayar cukai sekaligus mewujudkan lebih banyak projek gajah putih dan kelewatan kecekapan perkhidmatan.
Sektor Air
Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mempunyai fungsi bertindih tugas dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK). Jabatan Bekalan Air (JBA) pula mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan operator-operator air. Seharusnya tidak ada usaha untuk mengurangkan fungsi PAAB, SPAN, Indah Water Konsortium atau operator-operator air untuk membenarkan kewujudan JBA dan JPP. Kedua-dua JBA dan JPP mesti ditutup dan tenaga kerjanya dapat diserap ke SPAN, PAAB, Indah Water Konsortium, operator air atau jawatan kosong kerajaan yang lain.
Sektor Tenaga dan Alam Sekitar
Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Yayasan Hijau boleh ditutup juga. Fungsi SEDA dapat dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah sebuah jabatan. Sementara itu, fungsi Yayasan Hijau dapat dijalankan oleh Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia. Pembentukan SEDA adalah kerana politik pejabat dan bukan keperluan dasar nasional yang sebenar. Akta Tenaga Boleh Diperbaharui telah disiapkan sebelum tahun 2011 oleh Pusat Tenaga Malaysia (sekarang Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia). Lebih menyedihkan adalah apabila kabinet dan parlimen telah dipergunakan oleh individu-individu yang terlibat dalam pembentukan SEDA. Sekarang, kerana ada jalan keluar dalam Rancangan Malaysia ke-11, individu-individu ini juga harus dikeluarkan dari perkhidmatan kerajaan.
Agensi Persekutuan Baru untuk Sumber Air
Terdapat juga rancangan untuk membentuk agensi persekutuan sumber air yang baru melalui Rancangan Malaysia ke-12. Ini akan mewujudkan lebih banyak politik pejabat dan peningkatan kos operasi. Sekiranya kerajaan masih mahu meneruskan cadangan ini, portfolio tersebut boleh diletakkan di bawah SPAN. Ini akan menyempurnakan peranan SPAN untuk mengawal selia sumber air, perawatan air, bekalan air dan pembentungan. Jabatan Alam Sekitar akan menjalankan tugas mereka dalam pencegahan pencemaran dan peguatkuasaan terhadap pencemaran sumber air. Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran akan terus melaksanakan kerja-kerja mitigasi banjir dan penjagaan sungai. Kami tidak melihat keperluan mati-matian untuk membentuk agensi baru. Apa-apa undang-undang baru yang akan dibangunkan untuk sumber air boleh diletakkan di bawah bidang kuasa SPAN. Secara amnya ini disebut sebagai pengoptimuman.
Rancangan Malaysia ke-12 Perlu Di Kaji Semula
AWER juga telah menghantar surat dan mengemukakan cadangan kepada YAB Perdana Menteri dan YB Dato ‘Sri Mustapa Mohamed untuk mendesak kerajaan mengkaji semula Rancangan Malaysia ke-12 agar sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan cabaran yang akan dihadapi oleh ekonomi global . Kami juga telah memasukkan lebih daripada 40 cadangan untuk memperbaiki Rancangan Malaysia ke-12 dan menjadikannya lebih berpusatkan kepada negara dan rakyat.
Kami berharap Kerajaan Persekutuan akan memimpin melalui teladan untuk menutup empat agensi yang bertindih tugas ini bagi memastikan tidak ada pertindihan fungsi. Begitu juga, kerajaan juga harus mengkaji pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan serta penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dan membentangkannya di Parlimen berdekatan dengan pembentangan Belanjawan 2021.
Piarapakaran S., Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)