Home Nasional Proses sanitasi Pasar Chow Kit selesai namun tidak lenyapkan bau busuk

Proses sanitasi Pasar Chow Kit selesai namun tidak lenyapkan bau busuk

Suasana Pasar Jalan Raja Bot yang ditutup sepenuhnya selama 14 hari bermula 29 April hingga 13 Mei bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Pasar Raja Bot yang kebiasaannya amat sibuk dengan kegiatan jual beli hari ini sepi tanpa laungan suara para peniaga dan sunyi daripada pergerakan orang ramai membeli-belah.

Pasar yang lebih popular dengan nama Pasar Chow Kit itu menjadi tumpuan warga kota sejak berpuluh tahun ditutup dua minggu berkuatkuasa hari ini sehingga 13 Mei bagi memberi laluan kepada proses saringan pandemik Covid-19.

Penutupan itu juga bagi membolehkan proses santinasi dilaksanakan di seluruh kawasan tersebut berikutan penemuan kes positif Covid-19 yang berpunca dari pasar tersebut sehingga Kementerian Kesihatan mengarahkan para peniaga dan pengunjung menjalani saringan.

Arahan ini adalah selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 lagi-lagi selepas laporan ada peniaga disahkan positif Covid-19 sejak minggu lepas.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar jam 7.30 pagi tadi mendapati seramai 15 petugas Alam Flora memulakan proses mengenyahkan kuman di pasar tersebut yang dipercayai mempunyai sekurang-kurangnya 900 tapak perniagaan di dalamnya.

Proses sanitasi itu tamat sekitar 12 tengah hari.

Ketika proses pembersihan itu, bau kurang menyenangkan menusuk hidung dipercayai berpunca daripada stok barangan makanan yang ditinggalkan di situ.

Petugas Alam Flora Shd Bhd melakukan kerja-kerja sanitasi di Pasar Jalan Raja Bot yang ditutup sepenuhnya selama 14 hari bermula 29 April hingga 13 Mei bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 APRIL 2020.

Malah haiwan perosak seperti tikus kelihatan berkeliaran dalam serta sekitar pasar pasar seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pasar Chow Kit juga sentiasa berwarna-warni serta meriah dengan para peniaga rata-ratanya warga asing dengan pasar malam yang menjual barangan terpakai dan vintaj, di samping lokasi warga kota menjamu selera sebelum ini.

Suasana Pasar Jalan Raja Bot (Pasar Chow Kit) yang ditutup sepenuhnya hingga 13 Mei ini untuk kerja-kerja membasmi kuman dan saringan Covid-19 ke atas peniaga di Pasar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 28 APRIL 2020

Umum bukan sahaja bimbang dengan penularan virus Covid-19 di Chow Kit malah dengan keadaan kotor serta berbau itu sebenarnya mungkin berlaku wabak penyakit bawaan bakteria.

Selain dikunjungi warga kota, Pasar Chow Kit juga menjadi salah satu destinasi kegemaran para pelancong.

MalaysiaGazette difahamkan proses saringan Covid-19 akan mula dijalankan oleh KKM bermula esok terhadap setiap peniaga serta pekerja lain dalam Pasar Chow Kit bagi memastikan kawasan itu bebas pandemik itu.

Jalan ke pasar itu juga telah ditutup malah para peniaga juga tidak lagi dibenarkan menghampiri lokasi itu sehingga proses pembersihan serta saringan selesai di jalankan dalam tempoh dua minggu akan datang ini.

Semalam laporan menyebut 74 individu positif Covid-19 dikesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang sekali gus menjangkiti peniaga di pasar lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 13 individu positif terdiri peniaga pasar lain yang dijangkiti ketika membeli, memborong sayur dan barangan lain sebelum kembali berniaga di kawasan masing-masing.

Kita percaya ada antara pekerja di pasar borong itu menghadiri perhimpunan Sri Petaling dan ia sudah menjangkiti orang di kawasan itu.

“Apabila dikesan ada positif, jadi kita ambil tindakan saring kontak rapat mereka contohnya 60 peniaga di Bahau, Negeri Sembilan disaring, kita tutup pasar dan melakukan nyahkuman.

“Kita lakukan perkara sama di Pasar Taman Megah, Pasar Jalan Othman dan Pasar Chow Kit iaitu tutup pasar dan lakukan saringan kepada peniaga lain,” katanya pada sidang media harian semalam. –MalaysiaGazette

Pasar Chow Kit tetap sibuk walaupun ada dakwaan Covid-19

malaysiagazette.com/2020/04/29/tikus-bergaduh-bila-pasar-chow-kit-di-tutup/