KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan ke atas akaun Facebook yang memuatnaik siaran langsung di laman sosial itu dengan mempunyai unsur menakutkan secara jenayah dan menghina orang Melayu oleh lelaki bangsa Rohingya di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, pemilik akaun Facebook itu telah melemparkan kata-kata kesat serta jelik sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati kalangan rakyat Malaysia tentang provokasi tersebut.
Beliau yang memandang serius perkara ini berkata, satu siasatan telah dijalankan ke atas isu itu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ bermula 25 hingga 28 April 2020.
Hasilnya berkata, sebanyak 19 laporan polis telah diterima dari orang awam berkaitan isu video jenayah etnik Rohingya itu dan setakat ini empat kertas siasatan telah dibuka.
“Semakan D5 mendapati Live FB tersebut menggunakan akaun milik Villan Vicky dan penama tersebut berbangsa Rohingya yang pernah tinggal di negara ini tetapi kini menetap di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Huzir, siasatan turut dijalankan ke atas satu posting video tular yang menunjukkan empat ndividu sedang menjalani latih menembak menggunakan senjata api dan suspek juga membuat ugutan untuk menembak mana-mana individu yang masuk ke kawasan tempat tinggal suspek.
Katanya, siasatan untuk kedua-dua kes tersebut di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu perkataan atau kelakuan kurang sopan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Huzir berkata, siasatan lanjut polis ke atas Live Facebook yang tular itu juga mendedahkan perbualan antara tiga lelaki dengan seorang lelaki yang tidak dikenali mempersoalkan tujuan mereka memberikan komen negatif terhadap orang Melayu di Facebook.
“Ketiga-tiga lelaki menyatakan bahawa orang Melayu telah membuat provokasi dengan komen yang menjatuhkan maruah masyarakat Rohingya dan di penghujung Live Facebook itu mereka menjelaskan bahawa sebenarnya kemarahan mereka adalah bukan ditujukan kepada orang Melayu di Malaysia.
“Sebaliknya kemarahan itu ditujukan kepada Zafar Ahmad, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (Mehrom) dan Etnik Rohingya yang didakwa ingin menjadi orang Melayu, selain memaparkan video latihan menembak sebagai persediaan mempertahankan diri,” katanya
Sehubungan itu, Huzir menggesa orang ramai menghentikan apa jua spekulasi mengenai siasatan yang sedang dijalankan dan menasihatkan sebarang kenyataan atau artikel berkaitan perkara berkenaan tidak sewajarnya dimuat naik mahupun dikogsi dalam laman sosial.
Katanya, penularan kenyataan atau bahan berkaitan perkara tersebut dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan dan suasana tidak harmoni di dalam negara ini. – MalaysiaGazette