Home Dunia Irrfan Khan meninggal dunia

Irrfan Khan meninggal dunia

MUMBAI – Dunia hiburan, khasnya India, berduka hari ini dengan berita kematian aktor serba boleh Bollywood, Irrfan Khan yang bertarung penyakit kanser hampir dua tahun.

Kematian itu yang disahkan oleh pengarah terkenal, Soojit Sircar, lapor akhbar Times of India (TOI).

Irrfan, 54, dipercayai dikejarkan ke hospital di Mumbai berikutan jangkitan usus besar namun meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Pada 2018 aktor itu mendedahkan bahawa beliau disahkan menghidap tumor neuroendokrin.

Pelakon yang memiliki wajah aglo Amerika itu bukan sahaja terkenal di Bollywood dan India, sebaliknya di persada antarabangsa.

Nama beliau menjadi sebutan di Hollywood selepas membintangi filem Life of Pi, Slumdog Millionaire, Jurassic World, Amazing Spider Man.

Malah pelakon itu pernah memenangi anugerah Oscar. Irrfan yang membintangi filem Bollywood seperti Piku, Lunchbox, Talvar, Life In Metro turut merangkul anugerah berprestij.

Malah Irrfan pernah dianugerahkan ‘Padma Sri’ yang merupakan anugerah tertinggi India pada 2011.

Angrezi Medium merupakan filem terakhir yang dibintangi Irrfan namun filem itu tidak dapat ditayangkan lebih lama di pawagam berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan berikutan penularan wabak Covid-19.

Walaupun lahir dalam keadaan serba kekurangan, anak kepada penjual tayar itu menanam impian menjadi pemain kriket namun mengubah haluan untuk menjadi pelakon.

Irrfan meninggalkan isterinya, Sutapa Sikdar yang dilaporkan sentiasa berada di sisinya sepanjang masa sejak beliau menghidapi kanser.

Beliau dikurniakan dua orang anak lelak hasil perkongsian hidup dengan Sutapa salah seorang anaknya, Babil, kini menuntut dalam bidang perfileman di London. – MalaysiaGazette