Home Nasional ‘Penjawat awam juga bayar cukai’ – Cuepacs

‘Penjawat awam juga bayar cukai’ – Cuepacs

Adnan Mat

KUALA LUMPUR – “Penjawat awam juga bayar cukai”, itu penegasan Presiden  Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat terhadap pihak yang mempertikai pembayaran gaji penjawat awam yang didakwa dibayar oleh cukai sektor pekerjaan lain ketika COVID-19 ‘membadai’ negara ketika ini.

Malah, katanya pendapatan dan bonus tahunan penjawat awam adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan gaji dan bonus yang diperoleh sektor swasta.

“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ya, kita (penjawat awam) tetap dibayar gaji tetapi tidak perlu menyentuh mengenai sistem percukaian kerana kami juga membayar cukai, pendapatan kami jauh lebih rendah, ketika ada sektor swasta yang jauh lebih tinggi bonusnya, kami hanya dapat RM500 setiap tahun.

“Tetapi tidak pernah kami pertikai kerana kami berkhidmat untuk negara,” katanya yang dihubungi melalui telefon dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk “Pekerja dan Cabaran Budaya Normal Baharu” di Bernama TV malam ini.

Adnan juga menegaskan penjawat awam yang pasangannya berkerja di sektor swasta dan bekerja sendiri juga terkesan dengan PKP seperti golongan yang lain.

Katanya, pendapatan isi rumah penjawat awam di negara ini rata-rata disokong oleh pasangan sebagai pendapatan kedua bagi menampung kos hidup yang semakin tinggi dan keperluan pembayaran pinjaman perumahan dan sebagainya.

“Adalah salah menyatakan penjawat awam tidak terkesan dengan PKP. Ada pasangannya kerja dengan syarikat swasta, berniaga sendiri, jadi tukang jahit dan sebagainya yang terkesan ketika PKP ini. Dengan kos hidup yang tinggi, 20 hingga 30 peratus pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar pinjaman perumahan, pasti penjawat (awam) ini juga terkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, penjawat awam di negara ini tetap memberikan perkhidmatan terbaik walaupun bekerja dalam normal baharu dengan pelbagai perubahan pada ketika ini.

Ini, katanya bagi memastikan rakyat tidak mengeluh dan tetap mendapat perkhidmatan kerajaan walaupun dalam tempoh PKP.

Katanya, sebagai contoh bekerja dari rumah, kaedah ini telah dipraktikkan sejak 2007 dengan tugas tertentu secara percubaan seperti pelukis pelan dan penerimaan aduan dan ia akan diteruskan dengan lebih meluas selepas ini.

“Kita memang ada perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai kaedah ini, apatah lagi dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0, jadi ia nanti akan dipercepatkan, pada akhirnya nanti hanya mereka yang rapat dengan pelanggan akan berada di pejabat,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Pekerja kongres itu tahun ini, Adnan berkata, sambutan adalah berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya iaitu tanpa perhimpunan dan akan disiarkan secara langsung dalam Facebook Cuepacs Jumaat ini mulai 9 pagi.

Bertemakan ‘Pekerja Tunjang Kelestarian Negara’, dua anugerah akan disampaikan kepada penerima dengan cara menghantarnya ke lokasi penerima dengan mengikut garis panduan PKP yang ditetapkan.

Anugerah tersebut adalah Anugerah Majikan Prihatin dan Tokoh Hari Perkerja Cuepacs dan penyampaiannya akan turut disiarkan dalam Facebook.

Selain itu Cuepacs akan turut menyantuni petugas barisan hadapan yang berusaha mengekang penularan COVID-19 sebagai sebahagian aturcara sambutan berkenaan. – Bernama

2 Komen

  1. Betul tu..tiap bulan potong PCB…lepas tu tak dapat moratorium 6 bulan LPPSA…lepas tu mcm2 benda kena buat -works from home..ni cilakak punya boss Mydin ni kasi boikot lah..selama ni penjawat awam yg banyak laku kan bisnes Mydin..

Comments are closed.