Home Utama Ibu beri dua anak air gula, kopi O ganti susu

Ibu beri dua anak air gula, kopi O ganti susu

K. Mageswari, 31, berkata, beliau kehilangan punca pendapatan RM600 sebulan selepas kedai makan tempatnya bekerja tidak beroperasi bagi mematuhi arahan PKP.

GEORGE TOWN – Demi memastikan dua anaknya tidak kelaparan, seorang ibu terpaksa membancuh air gula dan kopi O untuk menggantikan susu kerana tidak mampu selepas hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

K. Mageswari, 31, berkata, beliau kehilangan punca pendapatan RM600 sebulan selepas kedai makan tempatnya bekerja tidak beroperasi bagi mematuhi arahan PKP.

Beliau berkata pendapatan sebagai pencuci pinggan mangkuk itu digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM100, bil air dan elektrik serta belanja harian.

“Sejak PKP, saya sudah tidak bekerja dan hanya bergantung pada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) RM1,600 yang diberikan kerajaan. Nasib baik kerajaan ada beri bantuan, kalau tidak saya tidak tahu macam mana nak meneruskan kelangsungan hidup. Dengan duit bantuan ini saya guna sikit untuk membeli lampin dan susu anak.

“Tapi sejak seminggu lepas, susu anak sudah habis dan saya pun tidak mampu membelinya kerana wang yang ada semakin menyusut. Saya terpaksa bancuh air gula dan kopi O serta nasi berlaukkan telur goreng untuk anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Free School, di sini, hari ini.

Mageswari berkata sebelum ini, beliau hanya bekerja untuk tiga hari dalam seminggu iaitu pada Jumaat dengan bayaran RM35 manakala Sabtu dan Ahad masing-masing dengan bayaran RM50 bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, beliau meninggalkan dua anaknya G. Keashav, 5, dan G. Racheal, 2, di rumah dan meminta bantuan jiran untuk memantau anak-anaknya ketika bekerja di kedai makan yang terletak berhampiran rumahnya.

“Saya bersyukur mempunyai jiran yang baik dan banyak membantu. Mereka turut memberi sumbangan makanan dan pakaian kepada anak-anak saya. Sepanjang PKP ini juga ada pihak yang menghantar makanan tengah hari kepada kami,” katanya yang juga menghidap penyakit tiroid.

Berkongsi kisah hidupnya, Mageswari, berkata sebelum ini beliau tinggal bersama keluarga mertua, namun kehidupannya semakin terhimpit selepas suaminya meninggalkannya dan beliau terpaksa keluar dari rumah keluarga mertuanya sebelum mendapat rumah sewa di Flat Taman Free School dengan bantuan seorang wakil rakyat.

Selain dua anaknya itu, beliau mempunyai dua lagi anak di mana anak sulungnya, Shadannshwaraan, 13, hasil perkahwinan pertamanya kini di bawah jagaan Crystal Home di Padang Tembak, di sini dan seorang lagi anak hasil perkahwinan kedua, G. Kavini, 4, dijaga oleh keluarga mertuanya.

Kesusahan keluarga itu turut mendapat perhatian Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) yang memberi sumbangan barang keperluan seperti tepung, bihun, biskut, gula, milo, susu tepung dan sebagainya.

— BERNAMA