Home Seni Hidup Ebit mahu lihat tiada orang lapar, semua ada rumah

Ebit mahu lihat tiada orang lapar, semua ada rumah

Ebit Lew.-Gambar FB

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas yang terkenal dengan kegigihannya membantu golongan yang tidak mampu di merata tempat, Ustaz Ebit Lew menyimpan cita-cita untuk memastikan tidak akan ada satu pun rakyat Malaysia  hidup dalam kelaparan dan tiada tempat berteduh.

Perkara itu diluahnya menerusi Instagram, dalam masa yang sama berharap agar cita-citanya itu menjadi kenyataan.

“Doakan cita-cita saya jangan ada satu orang pun yang lapar atau tiada tempat tinggal di Malaysia ini. Semoga Allah terima jadi asbab kebaikan dan hidayah. Saudaraku di sebalik ujian ada rahmat,” tulisnya.

Ebit Lew dikenali sebagai sosok yang tidak canggung untuk turun padang bertemu dengan masyarakat pelbagai latar belakang memberi nasihat, menyebar dakwah dalam masa yang sama turut membantu golongan memerlukan.

Baru-baru ini timbul kontroversi melibatkan dirinya apabila tindakan Ebit membantu golongan memerlukan dipertikaikan segelintir pihak yang memberikan respon negatif.

Ekoran itu, beliau dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis untuk membantu siasatan dan selepas itu, polis mengumumkan membenarkan pendakwa tersebut meneruskan usahanya memberikan sumbangan kepada yang terkesan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kewalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun Ebit perlulah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.-MalaysiaGazette