KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan Peraturan Pekerjaan Darurat yang melarang pembuangan pekerja bagi tempoh tertentu, berikutan penularan COVID-19 yang turut menjejaskan pekerjaan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon, berkata kerajaan perlu mengemukakan pelan yang tuntas bagi melindungi pekerja daripada dibuang kerja atau dipotong gaji dengan sewenang-wenangnya oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.
“Beberapa badan yang mewakili ahli korporat meramalkan pengangguran akan meningkat kepada ratusan ribu orang tidak lama lagi. Antara yang membuat unjuran sedemikian adalah Persekutuan Majikan Malaysia dan Persekutuan Pengilang Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Pekerja esok.
J.Solomon berkata mereka yang ditindas merangkumi pekerja warga Malaysia dan juga buruh migran yang sebilangan besar mereka adalah berkeluarga dan miskin tegar.
“Biarlah dalam tempoh PKP ini mahupun selepas PKP berakhir, kebajikan pekerja diberikan keutamaan. Mereka harus memperoleh jaminan upah dan pekerjaan semasa PKP dan keselamatan mereka mesti diutamakan apabila sektor-sektor tertentu mula dibuka semula,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar Malaysia (DHRRA) Saravanan M. Sinapan berkata golongan pekerja akan terus memainkan peranan penting ketika kita bergerak maju sebagai sebuah negara dalam memerangi COVID-19 dan dalam tempoh fasa pemulihan pasca COVID-19.
“Marilah kita meraikan mereka dan memastikan setiap seorang daripada mereka disediakan perlindungan dan pengiktirafan yang selayaknya, untuk kita bekerjasama mengharungi cabaran ini dan muncul sebagai pemenang dalam krisis ini,” katanya.- BERNAMA